Motosikal / Skuter / Roda

Ducati Multistrada V4 Pikes Peak Hadir Sebagai Varian Tertinggi

Ducati Multistrada V4 boleh dianggap sebagai motosikal kembara yang sudah sangat hebat namun jika atas sebab-sebab tertentu ia masih tidak cukup bagus, pelanggan kini boleh mendapatkan versi baharu iaitu Multistrada V4 Pikes Peak. Menurut syarikat itu, ia adalah Multistrada yang paling sporty setakat ini dan model yang paling berkuasa dalam segmennya.

Multistrada V4 Pikes Peak secara asasnya adalah Multistrada V4 yang diberikan suntikan steriod. Ia bermula dengan penampilannya, dengan Pikes Peak hanya boleh didapati dalam warna merah putih ikonik yang diinspirasikan oleh jentera lumba MotoGP Desmosedici ’21. Di hadapan, rim aluminium Marchesini didatangkan dalam saiz yang lebih kecil iaitu 17 inci, manakala di belakang, terdapat lengan ayun tunggal baharu.

Di samping penyenyap titanium dan karbon Akrapovic yang baharu, Ducati turut menyertakan beberapa komponen yang diperbuat daripada gentian karbon serta sistem suspensi Öhlins Smart EC 2.0 yang berupaya mengubahsuai tetapannya mengikut gaya tunggangan individu. Sistem suspensi boleh laras sepenuhnya itu juga digunakan oleh Panigale V4S dan Streetfighter V4S.

Walaupun kini dilengkapi dengan sistem ekzos Akrapovic, enjin V4 Granturismo bersesaran 1,160 cc itu masih menghasilkan 170 hp dan 125 Nm pada 8,750 rpm. Namun begitu, ia didatangkan dengan mod Race yang memberikan tindak balas pendikit yang lebih pantas. Bukan itu sahaja, quickshifter turut ditala semula untuk peralihan gear rendah yang lebih agresif.

Untuk menyesuaikan rim hadapan yang lebih kecil dan sistem suspensi baharu itu, sudut kepala stereng kini ditetapkan pada kedudukan yang lebih condong iaitu 25.75° berbanding 24.5° pada versi V4, manakala geometri trail dan tapak roda telah dikalibrasi semula. Sistem brek juga telah dinaik taraf dengan cakera berkembar 330 mm dengan angkup monobloc Brembo Stylema di hadapan dan cakera tunggal 265 mm dengan angkup Brembo terapung di belakang.

Previous post

Walaupun Harga Mahal Land Rover Defender Habis Dijual

Next post

Volkswagen Golf Mk8 Tiba Di Malaysia Untuk Merampas Semula Takhtanya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *