Ducati Streetfighter V4 SP – Lebih Ringan, Lebih Agresif
Ducati telah memperkembangkan barisan model Streetfighter V4 menerusi pengenalan varian baharu yang dikenali sebagai Streetfighter V4 SP. Membawa ‘Fight Formula’ ke satu tahap yang lebih tinggi, versi SP ini hadir dengan pelbagai penambahbaikan mekanikal serta komponen gentian karbon bagi membantunya mengurangkan berat. Secara asasnya, ia adalah Panigale V4 SP tanpa fairing.
Dari segi penampilan, Streetfighter V4 SP boleh dikenal pasti dengan mudah menerusi livery ‘Winter Test’ yang diinspirasikan daripada jentera lumba Ducati Corse yang digunakan semasa ujian pra-musim kejohanan MotoGP dan WSBK. Livery ini menggabungkan warna hitam matte pada fairing, kemasan karbon matte pada bahagian rim dan sayap, serta aksen merah pada tangki minyak aluminium. Selain itu, sayap karbon itu juga dihiasi dengan warna bendera Itali.
Bercakap tentang karbon, selain sayap dan mudguard, rim lima batang yang digunakan itu juga diperbuat daripada bahan yang sama. Ia 1.4 kg lebih ringan berbanding rim aluminium tempaan yang terdapat pada Streetfighter V4 S dan boleh mengurangkan inersia sebanyak 26 peratus di hadapan dan 46 peratus di belakang. Turut disertakan adalah tempat letak kaki CNC dan bateri lithium-ion. Secara keseluruhannya, versi SP ini 3 kg lebih ringan berbanding V4 S.
Selain itu, Streetfighter V4 SP masih dikuasakan oleh enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 yang menghasilkan 208 hp dan 123 Nm pada 9,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan klac kering STM-EVO SBK, yang mana menurut Ducati, menawarkan fungsi anti-loncatan yang lebih baik walaupun ketika menurunkan gear secara agresif.
Untuk sistem suspensi pula, jentera ini dilengkapi dengan komponen yang sama dengan Streetfighter V4 S iaitu fork Öhlins NIX-30, penyerap hentak Öhlins TTX36 dan peredam stereng Öhlins, semuanya dikawal dan diuruskan oleh sistem Öhlins Smart EC 2.0.
Bagaimanapun, tidak seperti V4 S, ia menggunakan dan gegelung dan hidraulik daripada Panigale V4. Apa yang berbeza adalah pramuatan gegelung fork dikurangkan dari 11 mm kepada 6 mm. Bukan itu sahaja, Ducati turut menggunakan angkup brek Brembo Stylema R pada bahagian hadapan yang dikatakan lebih efektif di litar lumba.
No Comment