Ferrari Roma Talaan Novitec Lebih Bergaya Dan Berkuasa
Dengan bentuk badan yang menggiurkan dan enjin V8 yang berkuasa, perkara terakhir yang Ferrari Roma perlukan adalah modifikasi. Namun, jika ada pemilik Roma yang rasa jentera ini masih tidak cukup oomph, syarikat tuner terkenal iaitu Novitec sedia untuk menawarkan kepakaran mereka.
Tidak seperti Mansory yang terkenal dengan rekaannya yang ekstrem, hasil tangan Novitec kebiasaannya lebih bersahaja dan sederhana. Untuk Roma, tuner yang berasal dari Bavaria, Jerman itu menggunakan spoiler hadapan, trim gril, rocker panel dan cermin sisi rekaan mereka sendiri.
Rekaan bahagian pula diserlahkan lagi menerusi lip spoiler pada but, diffuser yang lebih agresif dengan sirip menegak, serta kemasan di sekeliling lampu. Sebagai pelengkap, jentera GT 2+2 ini turut dipakaikan rim keluaran Vossen berukuran 21 inci di hadapan dan 22 inci di belakang.
Menurut Novitec, kesemua komponen tersebut (kecuali rim) diperbuat daripada gentian karbon. Lebih menarik lagi, ia bukan untuk penampilan semata-mata kerana setiap satunya telah diuji di dalam terowong angin, sekaligus berupaya meningkatkan kecekapan aerodinamik Roma.
Dari segi prestasi, enjin 3.9-liter twin-turbo V8 yang terletak di hadapan itu kini menjana 704 hp pada 7,400 rpm dan 882 Nm pada 3,750 rpm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat dan dari 0 hingga 200 km/j dalam 8.9 saat. Kelajuan maksimum adalah melebihi 325 km/j.
Untuk perbandingan, versi standard mempunyai 612 hp dan 760 Nm, dan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat dan 0-200 km/j dalam 9.3 saat. Peningkatan kuasa ini dicapai menerusi talaan pada kawalan enjin (ECU) dan kawalan tekanan boost elektronik.
Selain itu, Novitec turut menyertakan set gegelung sport yang mengurangkan ketinggian Roma sebanyak 35 mm. Namun jika perlu, ketinggiannya masih boleh dinaikkan sebanyak 40 mm menerusi penggunaan lift kit pada gandar hadapan.
No Comment