Geely Sahkan Lynk & Co Akan Masuk Pasaran Malaysia
Dalam pembentangan strategi Smart Geely 2025 baru-baru ini, Geely Auto Group mendedahkan bahawa ia menyasarkan untuk meningkatkan angka jualan tahunan mereka kepada 3.65 juta unit menjelang 2025. Jumlah tersebut melibatkan semua jenama automotif yang bernaung di bawah kumpulan Geely iaitu Geely Auto, Lynk & Co, Geometry dan Zeekr.
Bagi membantu mencapai sasarannya itu, Geely akan melancarkan lebih daripada 25 model baharu (termasuk model-model EV dengan ciri penukaran bateri) dan jenama trenkuasa baharu yang dikenali sebagai Leishen Power. Bukan itu sahaja, syarikat itu juga berkata mereka akan memfokuskan kepada pasaran-pasaran lain seperti Eropah Timur, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Amerika Selatan.
Bagi Lynk & Co, Geely berkata syarikat itu akan memperkukuhkan kehadiran jenamanya di peringkat global dengan memasuki pasaran Rusia, Australia, New Zealand dan juga Malaysia. Ya, Malaysia disebut sebagai salah satu pasaran baharu yang akan diterokai oleh jenama itu.
Bila sebenarnya Lynk & Co akan tiba di Malaysia masih belum diketahui namun ini boleh dianggap sebagai satu berita baik untuk mereka yang ingin menerokai pemilikan kenderaan berdasarkan program langganan. Di Malaysia, program langganan kenderaan baru sahaja mula bertapak dan walaupun ia tidak sepopular pemilikan konvensional, sambutan yang diberikan agak menggalakkan.
Buat masa ini, Lynk & Co mempunyai lapan model kesemuanya. Jangkaan kami, syarikat itu akan menawarkan model 06 yang menggunakan platform, enjin dan transmisi yang sama dengan Proton X50 yang cukup digemari ramai. Selain itu, model 01 juga mungkin akan dibawa masuk memandangkan berkongsi platform yang sama dengan Volvo XC40.
Jika model-model tersebut dibawa masuk, ia akan ditawarkan sebagai model CBU terlebih dahulu, sebelum versi CKD menyusul. Harus diingat ini adalah spekulasi sahaja, namun sekiranya Geely ingin memulakan operasi CKD Lynk & Co, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana mereka boleh menggunakan kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim atau kilang Volvo di Shah Alam.
No Comment