Haval Jolion Hybrid Diperkenalkan Di Thailand
Haval baru-baru ini memperkenalkan Jolion Hybrid di kilang pengeluaran baharunya yang terletak di Rayong, Thailand, sebelum model itu dilancarkan ke pasaran negara itu lewat bulan ini. Ini merupakan model Haval yang kedua untuk Thailand selepas H6 Hybrid.
Seperti model itu, Jolion Hybrid tampil dengan enjin petrol 1.5-liter turbo empat silinder yang dipadankan dengan sebuah motor elektrik dan transmisi klac berkembar Direct Hybrid Transmission (DHT) yang ditugaskan untuk memacu roda hadapan.
Walaupun secara asasnya ia adalah enjin yang sama, trenkuasa hibrid tersebut hanya menghasilkan 190 hp dan 375 Nm, 50 hp dan 155 Nm lebih rendah berbanding apa yang ada pada H6 Hybrid.
Untuk kecekapan bahan api, protokol ujian Thailand menunjukkan yang SUV segmen B hibrid ini mampu mencapai 4.2 liter setiap 100 km, hanya 0.2 dan 0.1 liter lebih tinggi berbanding dua pesaing terdekatnya iaitu Honda HR-V e:HEV dan Toyota C-HR Hybrid.
Dibangunkan menggunakan platform GWM Lemon, Jolion Hybrid boleh dibezakan daripada versi bukan hibrid menerusi gril Star Matrix yang unik, lampu LED penuh yang lebih langsing dengan jalur lampu nyalaan siang, dan rim aloi 18 inci dua tona. Ia juga didatangkan dengan lampu belakang LED dan bumbung suria panoramik.
Ruang kabinnya, yang direka berdasarkan konsep ‘Future Intelligent Cockpit’, menampilkan skrin sentuh berukuran 12.3 inci yang menyokong Apple CarPlay, JOOX dan navigasi satelit, dan kluster instrumen digital sebesar tujuh inci sebagai dua elemen utama.
Selain itu, paparan head-up, enam pembesar suara, sistem pendigin hawa dua zon dengan penapis PM2.5, pengecas telefon pintar wayarles dan upholsteri kulit dengan empat pilihan warna turut disertakan.
Dari segi keselamatan pula, Jolion Hybrid dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif yang merangkumi ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control with Stop & Go, Lane-Centring Assist, Blind-Spot Monitoring, Rear Cross-Traffic Alert, Reverse Collision Warning dan Automatic Parking.
Harga masih belum diumumkan namun menurut laman web GWM Thailand, Jolion Hybrid akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Ultra, Pro dan Tech.
No Comment