Honda City Hatchback Kini Dibuka Untuk Tempahan
Honda City Hatchback yang diacah di laman Facebook rasmi Honda Malaysia pada bulan lalu sudah boleh mula ditempah di semua cawangan pengedar Honda di seluruh negara. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.
Menggantikan Jazz yang dijual di Malaysia sejak 2003, City Hatchback akan ditawarkan dengan pilihan enjin hibrid e:HEV dan petrol seperti City sedan. Versi e:HEV menampilkan trenkuasa intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggabungkan enjin 1.5-liter dan dua buah motor elektrik denga kuasa keseluruhan sebanyak 109 PS dan 253 Nm.
Sementara itu, versi petrol pula dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan 121 PS dan 145 Nm, menjadikannya model paling berkuasa dalam kelasnya.
Sama seperti City, City Hatchback dengan trenkuasa hibrid e:HEV dilengkapi dengan kit badan RS yang merangkumi gril hadapan berwarna hitam piano, sayap berwarna hitam solid dan perumah cermin sisi dalam warna hitam berkilat. Turut disertakan adalah lencana ‘RS’ pada gril hadapan dan bampar belakang. Apa yang menarik, bampar belakang dilengkapi dengan diffuser yang memberikannya imej sporty.
Selain itu, City Hatchback RS e:HEV dan V sebagai dua varian tertinggi dalam barisannya turut mendapat lampu LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED dan rim aloi berukuran 16 inci.
Ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk Ultra dengan empat mod iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh, masing-masing menawarkan konfigurasi ruang penyimpanan yang berbeza untuk membawa muatan.
Satu lagi ciri kemudahan yang disertakan adalah Remote Engine Start (RS e:HEV dan V sahaja) yang membolehkan pemandu menghidupkan enjin dan sistem pendingin hawa bagi menyejukkan kabin sebelum memulakan perjalanan. Ciri-ciri kemudahan lain yang ada termasuk corong pendingin hawa belakang dan brek parkir elektronik.
Dari segi keselamatan pula, City Hatchback RS e:HEV dilengkapi dengan Honda SENSING yang merangkumi ciri-ciri berikut:
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Collision Mitigation Braking System (CMBS)
- Forward Collision Warning (FCW)
- Lane Keep Assist System (LKAS)
- Road Departure Mitigation (RDM)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Auto High Beam (AHB)
Sebagai tambahan, varian RS e:HEV dan V turut didatangkan dengan sistem Honda LaneWatch.
No Comment