Honda SUV RS Concept Didedahkan Di Indonesia
Honda telah mendedahkan model SUV RS Concept di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2021 yang kini sedang berlangsung di Tangerang. Model ini dikatakan memberi bayangan SUV kompak Honda yang akan datang iaitu ZR-V.
Bukan itu sahaja, ia juga merupakan SUV pertama Honda di Indonesia yang menampilkan varian RS. Buat masa ini, model-model Honda di Indonesia yang mempunyai varian RS adalah Brio, Mobilio, City Hatchback dan Civic.
Model konsep ini dibangunkan secara kerjasama antara Honda R&D Asia Pacific Co., Ltd. yang berpangkalan di Thailand dan PT Astra Honda Motor. Rekaannya dilihat menampilkan gabungan elemen HR-V dan BR-V, dengan lampu yang langsing dan gril bermotifkan papan catur pada bahagian hadapan, dan lampu yang disambungkan dengan jalur LED pada bahagian belakang.
Selain itu, karakter sporty SUV RS Concept diserlahkan lagi menerusi penggunaan skema dua tona, kemasan hitam di sekeliling badan, skid plate dan aksen merah pada bahagian sisi. Kombinasi overhang hadapan dan belakang yang pendek, serta rim bersaiz besar berwarna hitam sedikit sebanyak menyumbang kepada keagresifannya.
Dari segi saiz, ia dilihat lebih kecil berbanding HR-V. Ini secara tidak langsung menjadikannya pesaing kepada Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa. Seperti yang diperkatakan, terdapat kemungkinan yang ia akan menggunakan nama ZR-V apabila diproduksi kelak, berikutan laporan yang mengatakan Honda telah mendaftarkan tanda dagang ‘ZR-V’ pada April tahun lalu.
Apa yang pasti, ia akan dijual di Indonesia dan dijangka akan memasuki pasaran-pasaran lain di mana BR-V turut dijual seperti Malaysia dan India.
No Comment