Kia Carnival Dibuka Untuk Tempahan Di Malaysia
Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Kia Carnival serba baharu telah pun dibuka. MPV premium itu bakal hadir sebagai model import (CBU) dari Korea Selatan, namun harganya masih belum diumumkan.
Kini dalam generasi keempat, Carnival mempunyai overhang hadapan yang lebih pendek, manakala tapak tiang A dialih ke belakang untuk menghasilkan bonet yang lebih panjang. Antara elemen rekaan yang menarik adalah jeriji ‘tiger nose’ lebih lebar, rekaan lampu yang lebih futuristik dengan DRL, serta sirip krom dengan corak berlian pada tiang C.
Dari segi saiz, model baharu ini lebih besar jika dibandingkan dengan versi sebelum ini. Panjang keseluruhan bertambah sebanyak 40 mm menjadi 5,155 mm, ukuran lebar bertambah sebanyak 10 mm menjadi 1,995 mm, manakala tapak roda juga menjadi lebih panjang iaitu dari 3,060 mm kepada 3,090 mm. Ia dibina di atas platform N3 yang ringan, kuat dan senyap.
Untuk pasaran Malaysia, Carnival didatangkan dalam konfigurasi 11 tempat duduk yang menawarkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh. Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri kemudahan lain seperti pintu gelongsor kuasa, tailgate kuasa dan kunci pintar. Sistem infohibur pula merangkumi skrin sentuh LCD berukuran 12.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles, Bluetooth dan tujuh port USB.
Di bawah bonet, terdapat enjin turbodiesel 2.2 liter yang menghasilkan 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi automatik lapan kelajuan yang dikatakan mampu memberikan pecutan yang lancar dan linear.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, ABS, ESC, Traction Control, Multi-Collision Brake Control, cagak Isofix dan Hill-Start Assist Control. Turut disertakan adalah ciri-ciri keselamatan aktif iaitu Blind-Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA).
Carnival boleh didapati dalam enam warna iaitu Astra Blue, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Snow White Pearl, Panthera Metal dan Flare Red. Ia didatangkan dengan jaminan selama lima tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun/100,000 km.
No Comment