Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Mazda BT-50 Kini Boleh Ditempah Di Malaysia

Mazda mungkin bukan jenama pertama yang terlintas di fikiran ketika bercakap tentang trak pikap namun produk terbarunya ini dijangka akan menjadi popular di kalangan mereka yang mahukan trak pikap gaya hidup. Mazda BT-50 kini dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan harga bermula dari RM124,179.20 untuk model 1.9L High dan RM143,218.40 untuk model 3.0L High Plus.

Jika sebelum ini BT-50 dibangunkan berasaskan Ford Ranger, model generasi baharu ini dibina menggunakan platform yang sama dengan Isuzu D-Max. Namun, ia bukan produk rebadge semata-mata kerana reka bentuk, kelengkapan dan talaan semuanya hasil tangan Mazda.

Bahagian luaran BT-50 direka berdasarkan falsafah reka bentuk Kodo dan hasilnya, terdapat persamaan yang ketara dengan barisan model SUV Mazda terutamanya pada bahagian gril dan lampu. Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Rock Grey Mica, Gunblue Mica, Ice White, Red Volcano Mica dan True Black Mica.

Rekaan ruang kabin juga tidak jauh berbeza dengan model Mazda. Ini dapat dilihat menerusi pemilihan skema warna, material lembut pada sentuhan dan rekaan berpusatkan manusia. Papan pemuka, stereng, tempat duduk dan konsol tengah direka semula untuk keselesaan pemandu, manakala jahitan pada papan pemuka, hud panel instrumen dan pad lutut memberikan sentuhan kualiti.

Selain itu, terdapat juga skrin sentuh bersaiz besar yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen yang menampilkan dua kluster analog dan paparan multi-info berukuran 4.2 inci di tengah-tengah.

Seperti yang diperkatakan, BT-50 boleh didapati dengan enjin diesel 1.9L dan 3.0L, kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan Rear Differential Lock. Menurut Mazda, modul kawalan elektronik diprogramkan untuk memadankan karakter penyaluran tork enjin dengan sentiasa memilih nisbah yang terbaik.

Bergantung pada varian, teknologi keselamatan yang terdapat pada trak pikap ini merangkumi tujuh beg udara, ABS, Electronic Brake-Force Distribution, Electronic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist dan Hill Descent Control.

Turut disertakan adalah Automatic High Beam, Blind Spot Monitoring dengan Rear Cross-Traffic Alert, Lane Departure Warning System, Forward Collision Warning, Auto Emergency Braking dan Adaptive Cruise Control.

Mazda BT-50

Diimport dari Thailand, BT-50 didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 100,000 km, yang mana tiba dahulu.

Previous post

Kia Carnival Dibuka Untuk Tempahan Di Malaysia

Next post

SDAC-Ford Tawar Penjimatan Sehingga 20 Peratus Untuk Servis

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *