Mitsubishi Xpander Facelift Diperkenalkan Di Indonesia
Mitsubishi secara rasminya telah memperkenalkan Xpander facelift di Indonesia, beberapa hari sebelum berlangsungnya acara Gaikindo Indonesia International Auto Show. Model ini mendapat sentuhan segar pada reka bentuk luaran dan dalaman, serta pelbagai teknologi dan kelengapan baharu.
Bermula dengan bahagian luaran, Xpander 2022 masih menampilkan tema rekaan Dynamic Shield namun ia telah diolah semula dan kini menampilkan lampu LED berbentuk T dan lampu nyalaan siang LED baharu, bar berkembar berwarna hitam serta kemasan honeycomb di bawah gril. Turut disertakan adalah lampu LED belakang dan rim 17 inci dengan rekaan baharu.
Ruang dalaman turut diberikan suasana yang lebih segar dengan papan pemuka dan stereng baharu, panel kawalan sistem pendingin hawa digital yang menggantikan tiga tombol pada model terdahulu, serta brek parkir elektronik. Varian lebih tinggi didatangkan dengan upholsteri berwarna cerah pada tempat duduk, papan pemuka, panel pintu dan perehat tangan.
Dari segi kelengkapan, Xpander baharu hadir dengan skrin sentuh berukuran lapan inci, port pengecas USB Type A dan Type C untuk penumpang belakang serta pemegang botol pada konsol tengah dan perehat tangan tempat duduk belakang.
Seperti sebelum ini, Xpander menampilkan enjin petrol 1.5-liter MIVEC yang menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Namun begitu, transmisi automatik empat kelajuannya telah digantikan dengan kotak gear jenis CVT yang ditala untuk penjimatan bahan api dan penyaluran kuasa yang lebih baik.
Mitsubishi juga tidak ketinggalan untuk menala semula sistem suspensi Xpander dan hasilnya, MPV tujuh tempat duduk ini mempunyai jarak lega tanah yang lebih besar berbanding sebelum ini iaitu dari 220 hingga 225 mm. Bukan itu sahaja, perhatian khusus turut diberikan kepada topang dan peredam untuk memperbaiki keselesaan.
No Comment