Pandu Uji

Pandu Uji: Hyundai Kona N Line – Intro Kepada Divisyen N

Rasanya adil jika penulis katakan yang Hyundai telah jauh maju ke hadapan. Pengeluar kenderaan dari Korea Selatan ini yang dahulunya sering menjadi bahan kutukan akibat model-modelnya yang hodoh dan tidak tahan lama, kini menghasilkan antara kenderaan yang paling menarik di pasaran. Dan siapa sangka yang mereka akan mempunyai divisyen prestasi mereka sendiri?

Ya, penulis bercakap tentang divisyen N yang diketuai oleh siapa lagi kalau bukan Albert Biermann, bekas ketua BMW M. Jadi tidak hairanlah yang divisyen ini tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan BMW M (dan juga Mercedes-AMG), di mana ia membangunkan model-model berprestasi tinggi menggunakan barisan model sedia ada.

Hyundai Kona N Line Pandu Uji

Bukan itu sahaja, seperti syarikat-syarikat Jerman itu, Hyundai turut mengambil pendekatan mewujudkan dua peringkat model iaitu N untuk model-model berprestasi tinggi dan N Line untuk model-model yang tampil sporty, namun tidak mempunyai sebarang naik taraf mekanikal. Ini sama dengan BMW dengan M Sport dan Mercedes-Benz dengan AMG Line.

Setakat ini, terdapat enam model Hyundai yang diberikan sentuhan N Line iaitu i10 N Line, Elantara N Line, i30 N Line, Sonata N Line dan Tucson N Line. Bagaimanapun, hanya Kona N Line yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia, mungkin sebagai intro kepada divisyen yang dilahirkan di Namyang itu. Crossover itu dilancarkan bersama dengan varian 1.6 Turbo pada Julai lalu, tiga bulan selepas ketibaan Kona facelift 2.0 Standard dan Active.

Jika anda rasa Kona facelift, sama ada varian 2.0 atau 1.6 Turbo, adalah sebuah crossover yang tampan, anda pastinya akan jatuh cinta dengan penampilan agresif Kona N Line. Diakui, rekaannya kelihatan agak ‘sibuk’, namun ia tidaklah berserabut dan kucar-kacir. Di hadapan, terdapat gril besar dengan logo Hyundai di tengah, tiga lubang udara di bawah garisan bonet serta lip aerodinamik dengan sirip pada sudut kiri dan kanan bampar.

Kemasan plastik hitam pada bahagian sisi didatangkan dalam warna yang sama dengan badan, manakala bampar belakang menempat sebuah diffuser dengan muncung ekzos berkembar. Melengkapkan imejnya adalah rim aloi 18 inci dengan rekaan tersendiri yang tidak terdapat pada varian-varian lain. Bumbung dan cermin sisi berwarna hitam adalah standard pada Kona N Line dan unit yang kami pandu uji ini didatangkan dalam warna Surfy Blue yang sangat menonjol.

Hyundai Kona N Line Pandu Uji

Jangan salah sangka, bahagian dalaman model ini sangat berkualiti dan bahan-bahan yang digunakan terasa kena dengan harganya, namun skema warna serba hitam yang ditampilkan agak membosankan. Terdapat beberapa aksen merah pada bahagian stereng, tombol gear, tempat duduk dan corong pendingin hawa namun selain itu, semuanya hitam belaka. Mungkin ada di antara anda yang sukakannya, namun rasanya tidak salah jika Hyundai menggunakan lebih banyak warna untuk menaikkan seri ruang ini. Lihat sahaja Proton X50.

Walaupun tidak begitu menyerlah dari segi penggunaan warna, Hyundai menyertakan sebanyak mungkin kelengkapan dan teknologi pada model ini. Antaranya adalah paparan head up, kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci dengan pelbagai pilihan grafik, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, sistem pendigin hawa automatik dan pengecas wayarles. Turut disertakan adalah pakej sistem keselamatan aktif dan bantuan pemandu Hyundai SmartSense.

Dari segi ciri dan teknologi yang ada, Kona N Line memang cukup lengkap ini penulis rasakan yang ia tidak begitu sesuai dijadikan kereta keluarga. Penulis tidak ada sebarang rungutan tentang tempat duduk hadapan – ia selesa dan memberikan sokongan pada masa yang sama – namun tempat duduk belakang tidak memberikan sokongan peha yang mencukupi. Ini boleh menyebabkan penumpang cepat berasa letih dan penat selepas perjalanan jauh. Ruang lega kaki tidak begitu luas, begitu juga dengan ruang but sebesar 374 liter itu.

Namun satu perkara yang crossover ini tidak menunjukkan sebarang kekurangan adalah kuasa. Dengan 198 PS dan 265 Nm, enjin Smartstream G1.6 T-GDi empat silinder itu membekalkan kuasa tujahan yang cukup untuk menggerakkan Kona N Line dengan pantas. Namun, harus diingat yang ini bukanlah sebuah jentera berprestasi tinggi seperti Kona N Line. Ya, ia boleh bergerak dari keadaan pegun dengan pantas dan prestasi julat pertengahannya cukup mengasyikkan, namun apa yang kurang di sini adalah bunyi.

Seperti yang anda tahu, bunyi memainkan peranan yang cukup penting untuk menambah keterujaan serta menaikkan lagi semangat pemandu. Banyak pengeluar kenderaan masa kini yang ‘mengepam’ bunyi enjin atau ekzos buatan ke dalam kabin, jadi agak menghairankan yang ciri seperti itu tidak ada pada model yang kelihatan garang seperti Kona N Line.

Transmisi klac berkembar tujuh kelajuan terasa seperti pasangan yang sesuai untuk enjin tersebut, dengan kebolehannya untuk masuk ke gear seterusnya dengan pantas dan lancar. Namun, untuk prestasi yang lebih memuaskan, penulis sarankan agar anda mengaktifkan mod Sport, di mana ia terasa lebih ‘hidup’ dan pendikit menjadi lebih responsif, sekaligus menghasilkan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Seperti yang dijangkakan, sistem suspensinya sedikit keras untuk permukaan jalan raya kita yang terkenal dengan cacat cela dan ketidaksempurnaan, ditambah lagi dengan penggunaan rim besar dan tayar berprofil rendah. Namun, Kona N Line menebus kekurangan ini dengan prestasi pengendalian yang mantap di selekoh dan tahap kestabilan yang tinggi ketika memecut laju di laluan lurus.

Hyundai Kona N Line Pandu Uji

Konklusi

Secara umumnya, Kona N Line seronok untuk dipandu, sesuatu yang penulis jarang katakan tentang sebuah crossover. Sekali lagi, ia bukanlah model N yang sebenar namun sekurang-kurangnya ia mampu memberikan penulis sedikit gambaran tentang apa yang ditawarkan oleh divisyen N.

Pada harga RM156,888, tidak dinafikan ia memang mahal namun harus diingat yang ini adalah model import sepenuhnya yang sarat dengan pelbagai jenis kelengkapan dan teknologi terkini. Ia mungkin tidak dapat mengalahkan ‘raja’ segmen crossover iaitu Honda HR-V namun pujian harus diberikan kepada Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kerana membawa masuk model yang begitu menarik ini ke pasaran.

Spesifikasi Hyundai Kona N Line
Enjin: Smartstream 1.6G T-GDi empat silinder
Kapasiti: 1,598 cc
Kuasa: 198 PS @ 6,000 rpm
Tork: 265 Nm @ 1,600 – 4,500 rpm
Transmisi: DCT 7 kelajuan
0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 218km/j
Harga: RM156,888

Previous post

Pemilik Terima Sedan Elektrik BMW i4 Mereka Di BMW Welt

Next post

Rakyat Malaysia Suka Dengan Rupa Dinamik Dan Keserbagunaan Mitsubishi XPANDER

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *