Perodua Buka Tempahan Untuk Myvi Facelift 2022
Perodua hari ini mengumumkan pembukaan tempahan untuk Myvi generasi ketiga versi facelift 2022. Model hatchback popular itu bukan sahaja tampil dengan wajah dan pilihan warna baharu, malah diberikan pelbagai teknologi terkini dan ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan.
“Penambahbaikan ini mewakili usaha kami dalam memenuhi jangkaan para pelanggan kami yang semakin meningkat dan pada masa yang sama menawarkan nilai yang lebih hebat dengan memperkenalkan Standard Terbaharu untuk model paling diterima di Malaysia, Perodua Myvi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Untuk model facelift, Myvi ditawarkan dalam varian 1.5AV, 1.5H, 1.5X dan dua varian 1.3G. Semua varian didatangkan dengan transmisi automatik kerana transmisi manual tidak lagi ditawarkan. Setakat ini, Perodua masih belum mendedahkan apa-apa maklumat mengenai transmisi automatik tersebut namun menurut laporan, Myvi dikatakan akan mendapat transmisi jenis D-CVT seperti yang digunakan oleh Ativa.
Bagaimanapun, Dato’ Zainal mengesahkan yang Myvi facelift lebih cekap bahan api berbanding model sedia ada.
“Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi Baharu ini kepada 22.2km/liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini,” kata beliau.
Di samping itu, varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan didatangkan dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) terkini yang direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.
Turut diperkenalkan adalah pilihan warna baharu iaitu Cranberry Red untuk varian AV. Warna-warna lain yang akan ditawarkan termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue. Harga bermula dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans).
No Comment