Petronas Melancarkan Generasi Kedua Bendalir Kenderaan Eletrik (EV)
Adakah ia akan diperkenalkan di pusat-pusat AutoExpert Petronas di Malaysia
Kenderaan elektrik (EV) tidak memerlukan minyak enjin kerana mereka tidak mempunyai enjin pembakaran. Walau bagaimanapun, terdapat ratusan, mungkin ribuan bahagian bergerak dalam EV dan bahagian ini memerlukan pelincir atau penyejuk untuk memastikan ia boleh terus berfungsi secara optimum.
Sehubungan itu, PETRONAS Lubricants International, anak syarikat PETRONAS, pengeluar dan pemasar pelincir global melancarkan generasi kedua Bendalir Kenderaan Eletrik (EV) PETRONAS iona di Pusat Penyelidikan & Teknologi Globalnya di Turin, Itali hari ini. Pelancaran yang bertema Accelerating Efficiency, Revolutionising e-mobility merupakan usaha berterusan syarikat ke arah teknologi dan trend terkini dalam ruang e-mobiliti.
PETRONAS iona yang mula dilancarkan pada tahun 2019, bekerjasama rapat dengan kumpulan rakan kongsi perintis – termasuk Imperial College London, FEV Group, IAV dan syarikat-syarikat bahan tambahan – sejak tahun 2018 bagi menghasilkan bersama bendalir yang selamat, berprestasi tinggi serta boleh dipercayai khusus untuk kuasa gerak elektrik.
Berikut ialah siaran media Petronas dengan lebih maklumat:
Menurut Global EV Outlook 2021 baru-baru ini, pasaran global bagi semua jenis kereta telah terjejas dengan ketara akibat kesan ekonomi yang dibawa oleh pandemik COVID-19. Walaupun pendaftaran kereta baharu konvensional secara keseluruhannya menurun, jualan kereta elektrik global menyaksikan peningkatan sebanyak 70% pada tahun 2020.
“Kami yakin bahawa e-mobiliti sedang berkembang pada kadar yang sangat pantas. Dengan pertumbuhan tersebut, penyelesaian yang inovatif menjadi pemacu bagi mempercepatkan peralihan ke arah e-mobiliti untuk masa depan yang lebih lestari,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PLI, Giuseppe D’Arrigo.
PETRONAS iona menyasarkan membantu mempercepatkan peralihan dunia ke arah masa depan sifar karbon dengan mengoptimumkan kecekapan tenaga, keselamatan dan prestasi kenderaan elektrik dengan penyelesaian bendalir EV termaju. Sejak itu, pembangunannya telah dicapai sejajar dengan perkembangan teknologi EV.
Generasi kedua PETRONAS iona direka untuk memenuhi pelbagai keperluan dalam Unit Pemacu Elektrik dan E-gandar termasuk kawalan geseran dan kehausan serta pengurusan haba untuk memaksimumkan prestasi, kecekapan tenaga dan kebolehpercayaan kenderaan elektrik berprestasi tinggi.
Menerajui Inovasi dalam Sektor E-Bendalir
Pengeluar Peralatan Asal (OEM), pembekal Tahap 1 memerlukan peneraju industri dan rakan kongsi pakar yang boleh menyampaikan idea pembaharuan. Tujuannya adalah bagi membantu mereka berada selangkah ke hadapan dalam teknologi dan persaingan yang pesat membangun serta mempercepat penggunaan kenderaan elektrik berprestasi tinggi yang selamat dan cekap tenaga.
Dengan pelancaran PETRONAS iona, PLI mengumpul pakar-pakar terkemuka industri, para OEM dan pembekal melalui sesi PETRONAS EV Fluids Webinar 2021 sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mempercepatkan kecekapan dan meneruskan usaha kolektifnya ke arah masa depan yang lestari. Webinar itu lanjutan daripada Simposium Bendalir EV PETRONAS pertama yang dihoskan pada tahun 2019 dengan matlamat untuk meneruskan lagi momentum dan perbincangan berkaitan bendalir EV dalam memajukan industri EV.
Webinar ini meliputi tajuk-tajuk termasuk Inovasi Bateri untuk Kenderaan Elektrik hinggalah Kemajuan Terkini dalam Teknologi Bendalir untuk Sistem E-Transmisi oleh para pakar dari industri and PLI.
Portfolio bendalir EV syarikat yang dibuat khusus untuk aplikasi pelanggan merupakan hasil daripada pendekatan kolaboratif ini.
Mengulas tentang webinar, Giuseppe D’Arrigo berkata, “Pembentangan di webinar ini merupakan beberapa langkah dan kemajuan projek kejuruteraan bersama dalam kalangan rakan industri dan rakan akademik kami. Semua sesi ini didorong oleh satu matlamat yang sama – kelestarian. Webinar ini menjadi bukti bahawa kami telah melangkah setapak lagi ke hadapan, memasuki era baharu dalam perjalanan kami ke arah memajukan mobiliti elektronik untuk masa depan yang lebih hijau dan lestari.”
“Dengan peningkatan jualan EV dan kemunculan peluang pasaran dalam segmen ini, kami berusaha untuk terus bekerjasama dengan rakan kongsi dan rakan peneraju industri kami dalam memperjuangkan e-mobiliti melalui Fluid Technology Solutions™ kami yang menyeluruh,” tambah Giuseppe D’Arrigo pada pelancaran semalam. Sejak sedekad yang lalu, usaha-usaha kelestarian menjadi tumpuan, terutamanya selepas kemunculan pandemik global. Oleh yang demikian, usaha ke arah e-mobiliti merupakan langkah yang dialu-alukan untuk perniagaan dan pelbagai sektor di seluruh dunia. Kemajuan bendalir EV generasi kedua PETRONAS iona menjadi bukti kepada usaha PLI dalam mengubah e-mobiliti ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari.
No Comment