Proton Lancar Galeri Inspirasi Di Centre Of Excellence
Proton telah melancarkan galeri jenama baharunya iaitu ‘Gallery of Inspiration’ (Galeri Inspirasi). Terletak di kompleks Centre of Excellence, ia merupakan langkah seterusnya dalam penjenamaan semula syarikat yang bermula pada tahun 2019. Galeri ini dibuka kepada orang awam pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Terbahagi kepada beberapa zon, Galeri Inspirasi mempamerkan sejarah Proton, keterlibatan mereka yang berkait secara langsung dengan industri automotif Malaysia, rangkaian domestik dan antarabangsa, serta teknologi masa kini dan masa hadapan yang dipersembahkan secara tersusun dan menggunapakai teknologi “virtual reality” (VR) dan “augmented reality” (AR).
Selain itu, galeri itu turut menampilkan outlet Proton Café yang pertama dan juga koleksi model kereta bersejarah Proton untuk tatapan peminat dan pelawat.
“Sebagai pembuat kereta pertama di negara ini, sejarah Proton dan automotif di Malaysia saling berkait rapat. Kami telah banyak mencapai kejayaan serta memperkenalkan pelbagai inovasi saban tahun maka perjalanan tersebut dengan bangganya dipamer dan dikongsikan di Galeri Inspirasi tersebut,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.
“Dalam masa yang sama, produk kami telah berkembang dengan pantas beberapa tahun kebelakangan ini, jadi kami ingin mengambil kesempatan tersebut untuk menunjukkan kepada pembeli apa yang akan ditawarkan pada masa hadapan dan apa yang mereka boleh jangkakan dari Proton,” tambah beliau.
Pemilihan lokasi galeri jenama di Centre of Excellence membolehkan pelawat untuk merasai pengalaman sebenar pusat sehenti yang turut mempunyai pusat Pameran Kristal, di mana mereka boleh melihat, pandu uji, dan membuat tempahan produk terkini, serta Centre of Service Excellence, pusat servis utama bagi semua model Proton.
“Kami telah membuat pelaburan bagi Galeri Inspirasi dan penambahan informasi akan dilakukan seiring dengan perjalanan Proton dengan kemasukan model baharu. Berkenaan namanya, kami berharap pelawat akan mendapat inspirasi dari cerita perjalanan kami dan ini dapat memberikan percikan api semangat untuk perjalanan diri mereka walau apapun bidang yang diceburi,” tambah Roslan.
No Comment