Skuter Elektrik Scorpio X1 Dibuka Untuk Tempahan
Syarikat startup skuter elektrik dari Singapura iaitu Scorpio Electric baru-baru ini mengumumkan yang ia mula menerima pra-tempahan untuk produk pertamnya, Scorpio X1. E-skuter itu dijual pada harga USD9,800 (RM40,978) dam boleh ditempah menerusi laman web rasmi syarikat itu dengan deposit USD1,000 (RM4,181).
Menurut Scorpio, penghantaran X1 dijangka bermula sekitar lewat 2022 atau awal 2023. Apa yang menariknya ialah model ini turut ditawarkan untuk pasaran global.
Dari segi reka bentuk, X1 tampil dalam bentuk skuter maxi seperti Yamaha TMAX 560 dan Honda Forza 750, namun ia kelihatan lebih kecil sedikit berbanding kedua-dua model berkenaan. Ia didatangkan dalam warna kelabu matte dan hitam matte, kedua-duanya dengan aksen merah, serta lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang.
Dari segi teknikal pula, X1 dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 10 kW yang diletakkan diintegrasikan ke dalam lengan ayun tunggal. Ia cukup untuk membolehkan e-skuter itu memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam 4.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 105 km/j.
Dengan tenaga yang dibekalkan oleh bateri lithium-ion 4.8 kWj, X1 dikatakan mampu mencapai jarak sehingga 200 km dengan satu cas penuh. Pengecasan dari 0 hingga 90 peratus mengambil masa dua jam setengah.
Sudah tentu, jarak tersebut bergantung pada beberapa faktor termasuk gaya tunggangan. Oleh itu, Scorpio melengkapkan X1 dengan tiga mod tunggangan iaitu Eco, Urban dan Sport. Turut disertakan adalah mod undur yang membuatkan parkir menjadi lebih mudah.
Lain-lain kelengkapan yang ada pada X1 termasuklah sistem Keyless Entry, Remote Lock, sistem navigasi pintar, penunjuk lokasi kenderaan dan amaran anti-kecurian. Semua ini boleh diakses menerusi aplikasi telefon pintar.
No Comment