Stellantis Ambil Alih Kilang NAZA Di Gurun, Kedah
Stellantis, pemilik 14 jenama automotif yang sebelum ini bernaung di bawah Groupe PSA dan FCA termasuk Peugeot, Citroen, Alfa Romeo dan Fiat, mengumumkan bahawa ia telah mengambil alih sepenuhnya NAZA Automotive Manufacturing Sdn. Bhd. dan kilang pengeluarannya yang terletak di Gurun, Kedah.
Pemerolehan ini menandakan kejayaan penting buat Stellantis di Asia Tenggara, di mana syarikat itu merancang untuk melabur dan memperluaskan kehadiran sebagai sebahagian daripada strategi lokalisasinya.
“Stellantis amat komited untuk memperluaskan kehadirannya di ASEAN dan pengambil alihan kilang di Gurn, Kedah itu merupakan satu langkah penting terhadap pengukuhan operasi, produksi dan tenaga kerja di rantau ini,” kata Christophe Musy, naib presiden kanan, pengedar am & ASEAN di Stellantis.
Stellantis baru-baru ini memulakan semula operasi pemasangan di Gurun, bermula dengan Peugeot 3008 dan 5008 baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Bukan itu sahaja, 2008 baharu juga akan mula dipasang bermula bulan ini.
Menurut syarikat itu lagi, kilang pengeluaran tersebut telah mencapai tahap produksi pra-pandemik sejak ia memulakan semula operasinya. Jumlah pengeluaran juga dipertingkatkan untuk baki tahun 2021 bagi memenuhi permintaan di Malaysia, Thailand, Filipina dan pasaran ASEAN yang lain.
“Walaupun dilanda pandemik, kami berbangga kerana permintaan untuk kenderaan Peugeot semakin meningkatkan di rantau ini,” tambah Musy.
Menurut beliau lagi, Stellantis kini sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 40 peratus bagi memenuhi permintaan.
No Comment