Toyota Aygo X – Dari Hatchback Ke Crossover
Toyota telah memperkenalkan Aygo X, sebuah crossover rugged yang dibangunkan sebagai pengganti Aygo yang merupakan sebuah crossover. Ya, huruf ‘X’ pada hujung namanya merujuk kepada bentuk badan badan baharunya itu.
Jika dilihat, reka bentuk Aygo X tidak jauh berbeza dengan model konsep Prologue yang didedahkan pada Mac lalu. Penampilan segar ini digabungkan dengan beberapa elemen daripada Aygo generasi kedua seperti bumbung kanvas, penutup but kaca serta lampu belakang menegak.
Bagaimanapun, saiznya lebih besar berbanding sebelum ini. Dibina di atas platform GA-B, ukuran panjangnya bertambah sebanyak 235 mm, manakala ukuran lebar dan tinggi turut meningkat masing-masing sebanyak 125 mm dan 50 mm. Tapak roda (wheelbase) juga semakin panjang dengan pertambahan sebanyak 90 mm. Hasilnya, kapasiti ruang but bertambah sebanyak 60 liter.
Menurut Toyota, Aygo X dibangunkan untuk jalan-jalan yang sempit, dengan radius putaran antara yang terkecil di pasaran iaitu 4.7 meter. Bukan itu sahaja, aspek penglihatan pemandu turut diperbaiki dengan meningkatkan ketinggian tempat duduk sebanyak 55 mm dan mengubah sudut tiang A.
Sebagai sebuah crossover, ia turut hadir-hadir dengan ciri lasak seperti kemasan plastik di sekeliling gerbang roda dan skid plate pada bampar hadapan. Ketinggiannya turut dinaikkan sebanyak 11 mm, manakala saiz rim yang digunakan mencecah 18 inci.
Rekaan ruang dalamannya dilihat lebih sesuai untuk pemandu dari golongan muda dengan penggunaan trim warna kontra dan rekaan papan pemuka yang unik yang menempatkan skrin sentuh berukuran sembilan inci. Ciri-ciri lain yang turut disertakan adalah Apple CarPlay, Android Auto, Toyota Smart Connect serta sistem pencahayaan ambien.
Aygo X ditawarkan dengan satu sahaja pilihan enjin iaitu enjin 1.0-liter tiga silinder (1KR-FE), dengan pilihan transmisi manual atau CVT. Tanpa sebarang induksi paksaan, enjin tersebut menjana 72 hp pada 6,000 rpm dan 93 Nm pada 4,400 rpm.
Dari segi keselamatan, setiap varian didatangkan standard dengan sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre Collision System, Pedestrian Detection, Cyclist Detection, Collision Mitigation Support, Intelligent Adaptive Cruise Control, Lane Trace Assist dan Emergency Steering Assist.
No Comment