BMW Pasang Pengecas Pantas DC Di Auto Bavaria Ara Damansara
BMW Group Malaysia telah memperkenalkan DC Fast Charger baharu yang telah dipasang di Auto Bavaria Ara Damansara untuk kegunaan awam. Ia bakal disusuli dengan pemasangan di pusat-pusat pengedaran BMW i yang lain di seluruh negara.
Menjelang ketibaan barisan kenderaan BMW i generasi terbaharu, pengeluar kenderaan premium ini kekal komited untuk menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia, berserta dengan Rapid-Charging DC Charger untuk pengecasan segera di pusat pengedaran yang terpilih di seluruh negara.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, namun juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara.”
Tambah beliau, BMW Group Malaysia telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro, bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah untuk semua pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.
“Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan.”
Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria menyatakan, “Seperti BMW Group, kami juga berpendapat bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik, dan kami berbesar hati untuk menyertai kumpulan pengedar yang pertama untuk merealisasikan visi ini dengan memasang DC Fast Charger di premis kami bagi kegunaan awam.
BMW Group Malaysia menerajui mobiliti berelektrik di Malaysia sejak 2015, iaitu tahun yang telah menyaksikan BMW i yang pertama diperkenalkan di dalam negara dan sejak itu, lebih daripada 21,000 buah kenderaan BMW dan MINI berelektrik berjaya diserahkan di peringkat tempatan.
No Comment