Kembara Sejauh 1,600 km Dalam Tempoh Kurang 24 Jam
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dengan kerjasama Petron Malaysia, telah menganjurkan Cabaran 1,600KM Modenas Dominar D400 pada 18 November 2021 yang lalu. Ia dianjurkan khusus bagi menguji ketahanan mental dan fizikal para penunggang serta keupayaan motosikal Modenas Dominar D400 yang telah dinaiktaraf.
Pada 18 November 2021 tepat jam 7.33 pagi, seramai 10 orang peserta termasuk lima wartawan automotif telah menyahut cabaran 1,600 kilometer dalam masa 24 jam. Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, telah melepaskan konvoi yang akan memulakan perjalanan sejauh 399 km dari PETRON Subang Jaya menuju ke kilang MODENAS di Gurun, Kedah.
Konvoi itu kemudiannya meneruskan perjalanan menuju ke Kelantan melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan di Hutan Hujan Royal Belum, Perak, dan secara tidak langsung terlihat kelibat seekor gajah. Perjalanan sejauh 315 km dalam keadaan cuaca hujan lebat menuju ke Jerteh, Kelantan itu melalui jalan yang agak sempit, tetapi dikelilingi pemandangan yang menarik.
Apabila tiba di pekan Jerteh di mana matahari akan terbenam dalam beberapa jam lagi, ketua marshal memberi arahan untuk berhenti dan membiarkan konvoi berehat seketika dan makan malam sebelum menempuh perjalanan sejauh 234 km ke Kijal, Terengganu. Dari Kijal, konvoi kemudiannya meneruskan perjalanan ke Gambang, Pahang.
Ketika konvoi bergerak dari Gambang menghala ke Mersing, perjalanan diteruskan dalam suasana yang amat gelap. Dan satu-satunya cahaya yang boleh menerangi perjalanan yang mencabar ini adalah dari lampu Dominar D400 itu sendiri. Konvoi itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mersing, Johor dan berhenti di Simpang Renggam, Johor, untuk berehat sebentar setelah menempuhi perjalanan sejauh 553 km.
Setelah berehat selama 30 minit di Ayer Keroh, Melaka, konvoi itu meneruskan baki perjalanan sejauh 118k m sebelum tiba di hentian terakhir mereka di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan menamatkan perjalanan di Hotel Concorde Kuala Lumpur, pada 19 November 2021 jam 6.44 pagi.
Ahli konvoi telah berjaya menempuhi jarak sejauh 1,619 km dalam masa 23 jam 8 minit yang meliputi beberapa laluan paling sukar, dan keadaan yang agak mencabar serta berpeluang melihat pemandangan seluruh Semenanjung Malaysia dalam satu pengembaraan.
“Ini adalah kali pertama MODENAS menganjurkan konvoi sejauh 1,600KM dalam tempoh 24 jam dan saya percaya ini juga kali pertama bagi mana-mana pengeluar motosikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran ini dan berjaya menamatkannya dalam masa kurang dari 24 jam.,” kata Roslan Roskan.
“Kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal kami yang lain. Perjalanan yang panjang dan epik merentasi negara ini sememangnya mencabar bagi penunggang dan motosikal, tetapi Modenas Dominar D400 edisi 2021, sudah pasti memberikan keselesaan kepada penunggang dan segala yang diperlukan untuk mencapai objektif dalam keadaan terbaik. Saya benar-benar berharap agar kesemua 10 peserta itu mempunyai pencapaian yang menakjubkan dalam melengkapkan cabaran ini dan banyak belajar tentang diri mereka semasa melakukannya,” tambah beliau.
No Comment