Honda GL 1800 Gold Wing Dilancarkan Di Malaysia
Boon Siew Honda telah melancarkan Honda GL 1800 Gold Wing versi 2021 yang boleh didapati menerusi rangkaian pengedar BigWing di seluruh negara. Untuk pasaran Malaysia, motosikal tourer itu ditawarkan dalam satu warna sahaja iaitu Pearl Glare White, dengan harga bermula dari RM210,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Untuk model tahun ini, Gold Wing hadir dengan penambahbaikan pada aspek penggunaan dan keselesaan, ditambah lagi dengan kapasiti storan lebih tinggi, keselesaan penunggang yang lebih baik dan sistem infohibur yang dinaik taraf.
Pertama sekali, kapasiti ‘top box’ telah ditingkatkan sebanyak 11 liter kepada 61 liter bagi memberikan ruang penyimpanan yang lebih besar untuk perjalanan pada hujung minggu. Bukan itu sahaja, penunggang dan pembonceng kini lebih selesa dengan balutan suede/kulit sintetik pada tempat duduk, manakala sudut kerusi pembonceng kini ditetapkan pada 24.5 darjah, berbanding 17 darjah sebelum ini.
Sistem infohibur diberikan dua ciri baharu, iaitu pembesar suara baharu yang lebih ringan, yang mana menurut Honda menawarkan kualiti bunyi yang lebih jelas, serta Android Auto. Ciri-ciri baharu ini melengkapkan pakej keselesaan sedia ada yang merangkumi kunci pintar, Apple CarPlay dan sambungan Bluetooth.
Untuk aspek teknikal pula, GL 1800 Gold Wing dikuasakan oleh enjin sejuka cecair 1,833 cc, enam silinder enam rata yang menghasilkan kuasa puncak sebanyak 126 PS pada 5,500 rpm dan tork 170 Nm pada 4,500 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang menawarkan tetapan Automatic dan Manual.
Automatic mempunyai paten penukaran gear pra-program yang membuat penukaran gear berdasarkan kelajuan, kedudukan gear dan rpm enjin, manakala Manual pula memerlukan penunggang untuk menggunakan paddle shifter pada bahagian kiri bar hendal untuk menukar gear. Turut disertakan adalah fungsi ‘creep’ hadapan dan belakang.
Terdapat empat mod tunggangan yang disediakan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain. Selain itu, antara ciri-ciri bantuan penunggang yang disertakan pada model ini termasuklah Hill Start Assist (HSA), Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan ISG (Integrated Starter Generator). Sistem brek gabungan (Dual Combined Brake System, D-CBS) mengoptimumkan pengedaran daya brek dengan kerjasama ABS.
No Comment