Hyundai Palisade Masuk Pasaran Malaysia Bulan Ini
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini mengesahkan yang model SUV flagship iaitu Hyundai Palisade akan dilancarkan di Malaysia pada bulan ini. Ini merupakan kali pertama SUV saiz penuh keluaran jenama itu dilancarkan di pasaran negara ini.
Menurut HSDM, Palisade akan didatangkan dalam konfigurasi tujuh dan lapan tempat duduk, dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Ia diimport sepenuhnya (CBU) dari Ulsan, Korea Selatan.
Versi petrol menampilkan enjin 3.8-liter Dual CVVT V6 yang menghasilkan 295 PS pada 6,000 rpm dan 355 Nm pada 5,200 rpm. Sementara itu, versi diesel pula dikuasakan oleh R2.2 CRDi empat silinder dengan 200 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan empat roda HTRAC.
Dari segi kelengkapan, SUV ini tampil dengan lampu LED, lampu nyalaan siang dan lampu isyarat membelok LED pada cermin sisi. Sementara itu, ruang dalamannya menampilkan upholsteri kulit premium Nappa, trim kayu pada papan pemuka dan bumbung kaca panoramik pada bahagian belakang yang membuatkan ruang kabin rasa lebih luas.
Varian tujuh tempat duduk mempunyai kerusi kapten pada barisan kedua yang mempunyai fungsi pengudaraan dan One-Touch yang memudahkan penumpang barisan tempat duduk ketiga keluar dan masuk. Ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada model ini adalah corong pendingin hawa pada bumbung, outlet USB pada setiap barisan tempat duduk dan sistem bantuan pemandu Hyundai SmartSense.
Palisade kini dibuka untuk tempahan di semula cawangan pengedar Hyundai dan juga platform dalam talian Cl!ck to Buy. Harga akan diumumkan kemudian.
No Comment