Kereta Tersangkut Dalam Banjir? Ini Yang Perlu Anda Lakukan
Banjir buruk yang melanda Lembah Klang dan juga beberapa negeri lain baru-baru ini menyebabkan banyak kenderaan rosak. Lebih malang lagi, sejumlah besar daripada kenderaan yang terjejas tidak dapat diperbaiki lagi dan akan diisytihar sebagai ‘total loss’. Dengan air yang mulai surut di beberapa kawasan yang terjejas, ramai daripada anda yang mungkin tertanya-tanya apakah yang perlu dilakukan jika kereta terperangkap dalam banjir.
Pertama sekali, jangan sekali-kali cuba menghidupkan enjin kereta anda kerana ia akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk pada enjin dan ECU. Kos untuk membaik pulih kedua-dua komponen ini sangat mahal. Lebih baik jika anda biarkan sahaja kereta anda di tempat kejadian atau jika boleh, masukkan gear ke neutral dan alihnya ke tempat yang lebih selamat.
Perkara seterusnya yang perlu dilakukan adalah membuat persediaan untuk tuntutan insurans. Sebelum itu, pastikan polisi insurans kereta anda merangkumi perlindungan terhadap banjir. Tanpa perlindungan ini, anda perlu menanggung sendiri kos kerja baik pulih. Ketahui yang insurans komprehensif tidak merangkumi perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir. Perlindungan bahaya khas (special perils), termasuk banjir dan lain-lain bencana alam, biasanya ditawarkan sebagai opsyen dengan bayaran tambahan.
Seterusnya, ambil gambar kereta anda, seperti yang biasa dilakukan selepas terlibat dalam kemalangan. Ambil seberapa banyak gambar yang boleh dan dari pelbagai sudut kerana ia dianggap sebagai bahan bukti dan boleh membantu ketika membuat tuntutan insurans. Seterusnya, buat laporan polis di balai polis yang berdekatan.
Selepas itu, hubungi syarikat insurans anda. Kebanyakan pembekal insurans mempunyai aplikasi khas yang boleh digunakan untuk berhubung dengan mereka, meminta bantuan tepi jalan dan pelbagai lagi. Namun begitu, berikut kami sertakan hotline bagi setiap syarikat insurans utama di Malaysia:
- Zurich : 1-300-88-6222
- Etiqa : 1-300-13-8888
- Alliance : 1-800-22-5542
- AXA Affin : 03-7989-0310
- Berjaya Sompo : 1-800-18-8033
- AM General : 1800-88-6333
- Kurnia : 1-800-88-3833
- Pacific & Orient Insurance : 1 -800-88-2121
- RHB : 1-300-220-007
- Lonpac : 03-2262 8666
- Tune : 1-800-22-8863
- Liberty : 1-800-88-5005 / 8990
- Takaful Ikhlas : 1-800-88-1186
- Takaful Malaysia: 1-800-888-788
Syarikat insurans kebiasaannya akan terus mengaturkan perkhidmatan trak tunda ke bengkel panel secepat mungkin. Namun, dalam keadaan sekarang, jangkakan kelewatan kerana trak tunda pastinya sedang sibuk. Mereka juga mungkin akan mengambil masa yang lebih lama sekiranya air di kawasan anda masih belum surut sepenuhnya.
No Comment