Berita Auto

Kia Carens 2022 Bakal Diperkenalkan 16 Disember Ini

Rakyat Malaysia pastinya ingat dengan Naza Citra yang dijual sekitar tahun 2005. MPV ini sebenarnya berasaskan Kia Carens yang juga dikenali sebagai Rondo. Ia ditawarkan di pasaran-pasaran lain untuk dua generasi seterusnya hinggalah pengeluarannya ditamatkan pada 2018. Bagaimanapun, kini Kia mengesahkan yang model itu akan dihidupkan kembali khas untuk pasaran India.

Carens generasi keempat dibangunkan berasaskan platform yang sama dengan Seltos. Melihat kepada imej-imej teaser rasmi yang disiarkan, model itu nampaknya akan dijelmakan dalam bentuk sebuah SUV. Tema reka bentuk yang digunakan adalah “Opposites United” yang diilhamkan oleh Karim Habib, ketua reka bentuk Kia Design Centre.

Bahagian hadapan Carens, yang digelar oleh Kia sebagai ‘wajah harimau’, menampilkan bentuk lampu yang futuristik yang diintegrasikan dengan gril yang begitu langsing. Di bawah gril itu, iaitu pada bahagian bampar, terdapat bukaan udara besar berbentuk trapezoid yang kelihatan seperti mulut harimau.

Menurut Kia, profil sisi Carens kelihatan gagah seperti sebuah SUV, ditambah lagi dengan elemen-elemen seperti rel bumbung dan kemasan hitam di sekeliling gerbang roda.

Turut ditunjukkan adalah lakaran teaser untuk ruang dalaman. Seperti yang boleh dilihat, papan pemukanya kelihatan ringkas namun tetap canggih dengan kehadiran papan pemuka Audio Video Navigation Telematics (AVNT) berukuran 10.25 inci. Konsol tengah berada pada kedudukan agak tinggi, manakala kawalan untuk sistem pendingin hawa diletakkan berasingan di bawah paparan sistem infohibur itu.

Carens akan diperkenalkan secara rasmi pada 16 Disember ini.

Previous post

Nissan Almera Turbo Catat 49.5 KM/L Dalam Kempen Pandu Amal

Next post

UMW Toyota Motor Jual 8,486 Unit Kenderaan Pada November

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *