Pengeluaran Peugeot 2008 CKD Di Gurun Kini Bermula
Peugeot 2008 serba baharu mula keluar dari barisan pengeluaran di kilang pemasangan Stellantis di Gurun, Kedah. Crossover segmen B buatan Malaysia ini akan dieksport ke pasaran-pasaran ASEAN yang lain (pemanduan tangan kanan dan kiri) bermula dengan Thailand.
2008 buatan Malaysia didatangkan dengan lampu LED penuh, rim Salamanca dua tona berukuran 17 inci, upholsteri kulit, i-Cockpit 3D dengan kluster instrumen digital 10 inci, Keyless Entry dan skrin sentuh HD berukuran tujuh inci.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang merangkumi Automatic Emergency Braking (AEB), Speed Limit Information and Intelligent Speed Adaption (SLI/ISA), High Beam Assist (HBA), Lane Keep Assist (LKA), Driver Attention Assist 3 (DAA 3), sensor parkir hadapan dan belakang, kamera undur, dan Active Blind Spot Detection.
2008 dikuasakan oleh enjin 1.2-liter PureTech turbo tiga silinder yang menjana 130 PS pada 5,500 rpm dan 230 Nm pada 1,750 rpm. Ia merupakan enjin sama yang digunakan pada 2008 facelift sebelum ini, namun ia telah kuasanya telah dipertingkatkan sebanyak 18 PS dan 15 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda hadapan.
Model ini telah melalui ujian ketahanan dan kualiti di negara ini, melibatkan pemanduan sejauh lebih 200,000 km dalam cuaca dan landskap alam sekitar tempatan bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluaan pengguna di Asia Tenggara.
Seperti kebanyakan kilang di Malaysia, kilang pengeluaran Stellantis di Gurun terpaksa ditutup selama beberapa bulan akibat pandemik COVID-19. Bagi mengatasi halangan ini, pasukan pengeluaran Stellantis di Malaysia bekerjasama secara maya dengan rakan sekerja di China dan Eropah. Ini membolehkan mereka mengekalkan garis masa pengeluaran sambil mengekalkan standard pembuatan dan kualiti global Stellantis.
Kilang tersebut mempunyai lebih 170 kakitangan dan kini sedang bekerjasama secara rapat dengan 50 pembekal tempatan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi. Stellantis mengambil alih kilang ini daripada Naza Automotive Manufacturing pada Oktober tahun ini.
No Comment