Perodua Tawar Khidmat Tunda, Diskaun Alat Ganti Kepada Mangsa Banjir
Perodua menawarkan bantuan, termasuk rebat perkhidmatan tunda kenderaan, diskaun ke atas alat-alat ganti terpilih dan pemeriksaan percuma kenderaan kepada semua pemilik kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir.
Setakat 19 Disember 2021, beberapa bahagian di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah terkesan akibat banjir.
“Para pelanggan kami amat penting buat kami dan perkhidmatan tambah nilai ini disediakan bagi membantu meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh mereka semasa bencana ini,” kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
“Walaupun beberapa pusat servis kami turut terjejas akibat banjir, para pelanggan kami amat dialu-alukan untuk merujuk mana-mana cawangan perkhidmatan kami yang lain di seluruh Malaysia untuk mendapatkan bantuan.”
“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk menyambung semula operasi kami (di kawasan terjejas) secepat mungkin,” tambah beliau lagi.
Mengenai bantuan yang diberikan, pelanggan Perodua boleh membuat tuntutan untuk perkhidmatan menunda kenderaan maksimum sehingga RM100 di pusat servis Perodua berhampiran mengikut kepada terma dan syarat.
Selain itu, Perodua juga turut menawarkan potongan 20% untuk alat-alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.
“Alat-alat ganti tulen kami disertakan dengan jaminan pengeluar dan kami meminta para pelanggan kami untuk tidak menggunakan sebarang alat ganti tiruan kerana ini boleh menjejaskan prestasi kenderaan mereka,” kata Dato’ Zainal.
Alat-alat ganti tersebut termasuk semua barangan elektronik, gasket baik pulih enjin, tempat duduk kenderaan, kemasan pintu dan permaidani.
Pelanggan Perodua, yang kenderaannya mengalami kerosakan akibat banjir digalakkan untuk menghubungi talian perkhidmatan pelanggan bebas tol Perodua di 1-800-88-5555 untuk bantuan menunda (tertakluk kepada terma dan syarat).
No Comment