Proton Umum Bantuan Tambahan Kepada Mangsa Banjir
Setelah skala kerosakan akibat banjir baru-baru ini menjadi lebih ketara, Proton hari ini mengumumkan pakej bantuan pelanggan yang dipertingkatkan bagi meringankan beban kewangan mereka.
Butiran pakej baharu itu adalah seperti berikut:
- Diskaun sebanyak 50 peratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model kecuali Proton X50 dan Proton X70
- Servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma
“Proton amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan B40. Sehingga kini, lebih kurang 600 kenderaan telah diterima oleh pusat servis Proton dan kami menjangkakan banyak lagi unit akan tiba pada hari dan minggu yang akan datang. Oleh itu, pihak syarikat telah mengambil keputusan untuk meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih telah dinaikkan kepada 25 peratus berbanding dengan 20 peratus yang telah diumumkan sebelum ini. Diskaun sebanyak 25 peratus juga akan diberikan bagi caj buruh untuk semua model. Tawaran bantuan ini boleh didapati di pengedar 3S/4S Proton terpilih dan tertakluk kepada terma dan syarat. Sebagai tambahan, pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton (PIP) layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000.
“Selain daripada pakej bantuan, Proton juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil. Kemudahan ini bermakna mereka tidak akan dikenakan bayaran faedah serta tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus,” tambah Roslan.
No Comment