Sedan Elektrik NIO ET5 Dilancarkan Di China
Acara NIO Day 2021 yang berlangsung baru-baru ini di Suzhou, China menyaksikan pelancaran sedan elektrik saiz pertengahan NIO yang dikenali sebagai ET5. Ini merupakan sedan kedua jenama itu selepas model flagship ET7 yang diperkenalkan pada acara yang sama edisi tahun lalu.
Melihat kepada bahagian luarannya, ET5 jelas diinspirasikan oleh ET7 namun model ini mempunyai bentuk liftback yang lebih menonjol. NIO berkata gerbang roda belakangnya diilhamkan oleh supercar EP9, manakala garis-garis tajam yang digunakan menyerlahkan lagi imej “muda” dan “dinamik” model ini.
Sementara itu, ruang dalaman pula membawakan konsep ruang tamu kedua, dengan penggunaan fabrik dari sumber mampan dan aspek akustik yang ditambah baik. Antara ciri utama di sini adalah kokpit digital imersif dan panoramik yang dinamakan sebagai PanoCinema yang menampilkan teknologi AR dan VR. Untuk AR, NIO bekerjasama dengan Nreal untuk membangunkan kaca mata AR yang boleh memprojekkan saiz skrin 201 inci pada jarak enam meter.
Untuk VR pula, syarikat itu bekerjasama dengan Nolo untuk menghasilkan kaca mata VR dengan lensa Pancake yang nipis yang mampu menawarkan efek paparan 4K binokular. Ciri-ciri lain yang turut boleh didapati termasuk kluster instrumen HDR berukuran 10.2 inci, sistem audio Dolby Atmos 7.1.4 dan sistem pencahayaan ambien tirai dengan 256 pilihan warna.
Memacu ET5 adalah gabungan motor elektrik berkembar yang menjana 150 kW di hadapan dan 210 kW di belakang, memberikan sedan itu kuasa keseluruhan berjumlah 480 PS dan 700 Nm, cukup untuk pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.3 saat. Dari kelajuan itu, ET5 boleh berhenti sepenuhnya dalam lingkungan jarak 33.9 meter dengan adanya angkup brek empat piston yang dibangunkan sendiri oleh NIO.
Selain itu, terdapat lapan mod pemanduan pada model ini iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+, Snow, Sand, Wet dan Custom. Untuk jarak pemanduan pula, ET5 menawarkan jarak melebihi 550 km untuk bateri Standard Range 75 kWh, 700 km untuk bateri Long Range 100 kWh dan 1,000 km untuk bateri Ultralong Range 150 kWh. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran ujian tugas ringan China (CLTC).
Satu lagi ciri menarik adalah NIO Autonomous Driving (NAD), yang menggunakan NIO Aquila Super Sensing dan NIO Adam Super Computing. Aquila menampilkan 33 unit sensor berprestasi tinggi termasuk LiDAR jarak jauh, 11 kamera 8 MP, sistem pemantauan pemandu, radar gelombang 5 mm, 12 sensor ultrasonik dan pelbagai lagi.
Penyerah ET5 dijangka bermula September tahun hadapan. Di China, ia ditawarkan dengan sembilan pilihan warna, dengan harga bermula dari RMB328,000 (RM217,290) sebelum subsidi. Buat masa ini, tidak dipastikan jika ia akan dijual di pasaran-pasaran lain.
No Comment