Tan Chong Panggil Semula Nissan X-Trail Hybrid
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) hari ini mengumumkan kempen panggilan semula untuk Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bagi mempertingkatkan abah-abah ruang enjin kuasa hibrid (Engine Room Harness).
Menurut syarikat itu, kempen panggilan semula ini melibatkan X-Trail 2.0L Hybrid keluaran Jun 2018 hingga Mei 2021, manakala unit yang dikeluarkan dari Jun 2021 tidak terlibat.
Model ini dipanggil semula kerana rangkaian kuasa hibrid mungkin rosak disebabkan gangguan pada bahagian tepi enjin atau pada pendakap modul kawalan transmisi.
Pemilik yang terlibat akan dimaklumkan secara terus oleh TCEAS menerusi surat atau SMS/Whatsapp dan dinasihatkan untuk segera menghubungi outlet TCEAS yang terdekat untuk membuat janji temu. Pemilik tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
Outlet-outlet TCEAS yang terpilih telah melanjutkan waktu operasi mereka dan dibuka 365 hari setahun bagi tujuan memudahkan pelanggan untuk menghantar kenderaan mereka untuk servis pada hujung minggu dan cuti umum.
ETCM dan TCEAS komited dalam memastikan keselamatan pelanggan, perkhidmatan dan kepuasan mereka berada pada tahap teringgi. Untuk maklumat lanjut, hubungi Nissan Customer Care Centre Hotline di talian 1800-88-3838.
No Comment