Toyota Corolla Cross HEV GR Sport Dilancarkan Di Thailand
Toyota Corolla Cross adalah model yang sangat popular di Thailand, dengan 27,794 unit berjaya dijual sejak pelancarannya pada Julai tahun lalu. Apa yang menarik, 85 peratus daripada jumlah tersebut merupakan varian Hybrid (HEV), menunjukkan kepercayaan yang ada pada teknologi hibrid Toyota. Kini, varian itu boleh didapati dalam versi GR Sport.
Pakej ini merangkumi penambahbaikan pada bahagian luaran dan dalaman, semuanya dengan sentuhan eksklusif GR. Untuk bahagian luaran, ia menampilkan bampar, gril, locker sisi, under run belakang dan lampu kombinasi belakang. Tidak dilupakan adalah rim aloi GR berukuran 18 inci yang dibalut tayar bersaiz 225/50.
Corolla Cross HEV GR Sport boleh didapati dalam tiga warna iaitu Platinum White Pearl dengan bumbung hitam, Red Mica Metallic dengan bumbung hitam dan Attitude Black Mica.
Di dalam, terdapat hiasan hitam piano pada panel instrumen, jahitan berwarna perak pada stereng dan upholsteri kulit tempat duduk dan sudah tentu, logo GR pada perehat kepala dan butang penghidup enjin.
Lebih menarik lagi, pakej GR Sport ini tidak terhad kepada aspek kosmetik sahaja. Bagi menjadikan pemanduan lebih mengujakan, divisyen itu turut menala semula gegelung dan penyerap hentak bagi meningkatkan cengkaman, kestabilan dan kelincahan di selekoh.
Turut disertakan adalah lower strut bar dan juga stereng kuasa elektrik (EPS) dengan talaan khusus untuk model ini. Bukan itu sahaja, sistem Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) kini tersedia pada semua tahap kelajuan.
Sama seperti versi standard, Corolla Cross HEV GR Sport dikuasakan oleh enjin hibrid 1.8-liter 2ZR FXE yang menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm, dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 88 kW dan 202 Nm. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 122 PS dan tahap kecekapan bahan api serendah 23.3 km/l.
Varian ini dijual pada harga 1,249,000 baht atau kira-kira RM155,870 mengikut pertukaran semasa. Ini menjadikannya varian paling mahal dalam barisan Corolla Cross, di mana versi petrol dijual pada harga 989,000 baht atau RM123,420.
No Comment