Toyota GR Yaris Ini Dikuasakan Oleh Hidrogen
Sementara pengeluar-pengeluar kenderaan terkemuka sibuk menghasilkan kenderaan elektrik masing-masing, Toyota dilihat lebih berminat kepada hidrogen. Jenama dari Jepun itu sudah mempunyai kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) Mirai dalam barisan modelnya sejak 2014 namun ia kini sedang bereksperimentasi dengan enjin pembakaran hidrogen.
Enjin yang dimaksudkan adalah enjin GR Yaris G16E-GTS 1.6-liter tiga silinder turbo yang mendapat manfaat daripada bekalan bahan api dan sistem suntikan yang telah diubah suai untuk hidrogen. Enjin ini sebenarnya telah digunakan oleh sebuah Corolla Sport yang digunakan untuk bersaing dalam siri Super Taikyu di Jepun, dan ini kini ia ‘dikembalikan’ semula kepada GR Yaris.
Secara asasnya, enjin yang telah dimodifikasi ini menggunakan hidrogen, tangki bahan api dan proses mengisi bahan api yang sama dengan Mirai namun tidak seperti model FCEV flagship itu yang menjana tenaganya menerusi tindak balas kimia antara hidrogen dan oksigen, GR Yaris ini menggunakan hidrogen untuk menggantikan petrol sebagai bahan bakar untuk enjinnya.
Ada beberapa sebab mengapa Toyota begitu berminat dengan hidrogen. Selain lebih bersih dan mesra alam berbanding petrol, ia juga membakar pada kadar yang lebih cepat, sekaligus menjadikan enjin lebih responsif. Satu lagi kelebihannya adalah ia mampu mengekalkan “sensasi akustik dan sensori” seperti enjin pembakaran dalaman tradisional.
Bagaimanapun, di sebalik kelebihannya dan bukti yang ia boleh digunakan dalam sukan permotoran, Toyota mengakui bahawa masih terlalu awal untuk ia mengkomersialkan teknologi enjin pembakaran hidrogen.
No Comment