Bisnes

UMW Toyota Motor Jual 8,486 Unit Kenderaan Pada November

Jualan Toyota dan Lexus mencerminkan Jumlah Keseluruhan Industri (Total Industry Volume, TIV) bagi November, yang dijangka kurang berbanding TIV Oktober. Namun, permintaan untuk dua jenama ini kekal kukuh dengan 8,486 unit kenderaan terjual pada November, hanya 14 unit kurang berbanding pencapaian pada bulan Oktober.

Daripada jumlah tersebut, 6,620 terdiri daripada kereta penumpang manakala selebihnya adalah kenderaan komersial (termasuk trak pikap). Bagi tempoh Januari hingga November, jualan keseluruhan bagi jenama Toyota dan Lexus mencapai angka 63,105 unit, iaitu 26 peratus lebih tinggi berbanding 50,074 unit yang dicatat dalam tempoh sama bagi tahun lalu.

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33 peratus daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

“Pertumbuhan pasaran yang berterusan adalah tanda yang kami kian melangkah ke arah pemulihan. Norma baru bermakna pendekatan berbeza perlu diambil untuk beberapa perkara dan kita perlu peka dengan SOP. Di Toyota, kami telah menyesuaikan proses yang terlibat dengan sewajarnya. Pelanggan boleh berkunjung ke pusat pameran atau menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang sah dengan rasa lega bahawa kesihatan mereka akan terjamin,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Untuk bulan terakhir tahun ini, kami memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi “Now Is The Time”, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih. Selain itu, kerajaan meneruskan dasar pengecualian cukai jualan yang akan menambah lagi penjimatan kepada pelanggan,” katanya.

UMW Toyota Motor juga sedang dalam persiapan terakhir untuk acara utama iaitu pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang secara tempatan. Menurut syarikat itu, Toyota Corolla Cross Hybrid baharu kini dalam peringkat pra-produksi di kilang pemasangan ASSB di Bukit Raja, Selangor.

“Sejak kami membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan kami gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik. Toyota telah mengeluarkan kenderaan hibrid elektrik sejak akhir 1990an dan sentiasa menambah baik serta memajukan teknologi agar rakyat Malaysia menerima manfaat hasil daripada eksperimen yang panjang ini,” menurut Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar. Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek. Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” kata Takeyama lagi.

Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan. Selain itu,terdapat jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun. Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.

Previous post

Kia Carens 2022 Bakal Diperkenalkan 16 Disember Ini

Next post

Ford Ranger WildTrak Sport Dilancarkan - RM158,388

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *