Volkswagen Tunjuk Lakaran Teaser Amarok 2023
Volkswagen Commercial Vehicles telah menyiarkan lakaran teaser untuk Volkswagen Amarok generasi baharu. Syarikat itu turut mengesahkan yang model trak pikap itu akan diperkenalkan secara rasmi pada 2022 dan akan dipasang di Afrika Selatan, berikutan penutupan kilang pemasangan Amarok di Hannover, Jerman tahun lalu.
Sepertimana Isuzu D-Max dan Mazda BT-50 dibina menggunakan platform yang sama, Amarok berkongsi platform dengan Ford Ranger generasi baharu yang diperkenalkan bulan lalu. Bagaimanapun, Amarok akan menggunapakai bahasa reka bentuk Volkswagen bagi membezakannya dengan kembarnya dari Amerika Syarikat itu.
Seperti yang boleh dilihat, bahagian hadapan Amarok menampilkan lampu hadapan berbentuk tajam dan langsing yang diintegrasikan dengan gril. Tidak seperti Ranger, gril pada trak pikap Volkswagen ini dilihat mempunyai bar lampu sama seperti model-model generasi baharu keluaran jenama dari Wolfsburg itu.
Bahagian bumbung agak menarik kerana selain rak dan tali pengikat, Amarok dilengkapi dengan sepasang lampu tambahan yang tidak terdapat pada Ranger. Lakaran bahagian belakang tidak disertakan namun kami menjangkakan reka bentuk lampu yang sama dengan Ranger, cuma dengan grafik yang berbeza.
Sementara itu, rekaan ruang kabin menunjukkan dua persamaan dengan Ranger iaitu skrin sentuh yang besar dan kluster instrumen digital. Selain itu, Amarok mempunyai rekaan papan pemuka, stereng dan upholsteri tempat duduk yang tersendiri.
Amarok dibangunkan oleh pasukan Volkswagen di Australia dan Eropah. Tidak seperti model terdahulu yang dikilangkan di Hannover, model baharu ini akan dihasilkan di Silverton, Afrika Selatan sebagai lokasi baharu. Ia juga akan terus dipasang di Pacheco, Argentina. Jualannya dijangka bermula di Eropah lewat tahun hadapan, sebelum diikuti oleh pasaran-pasaran lain. Sejak dilancarkan pada 2010, lebih 800,000 unit Amarok telah terjual.
No Comment