Berjaya Auto Asia Lancar Kaicene CX70 Di Filipina
Anda mungkin tidak pernah mendengar jenama Kaicene. Ia sebenarnya adalah divisyen kenderaan komersial milik Changan Automobile yang baru-baru ini menandakan kemasukannya ke dalam segmen kenderaan penumpang di Filipina menerusi pelancaran CX70 baharu.
SUV itu diedarkan oleh Berjaya Auto Asia, yang merupakan salah satu perniagaan automotif yang dimiliki oleh Berjaya Philippines Inc. Dan oleh kerana Berjaya Philippines dimiliki oleh Berjaya Corporation Berhad, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan yang ada kemungkinan CX70 dibawa masuk ke Malaysia.
Sudah tentu, semuanya bergantung kepada keadaan pasaran. Jika Changan rasakan yang ada permintaan untuk SUV tujuh tempat duduk buatan jenama dari China, mungkin ia akan dipertimbangkan. Selain itu, mereka juga perlu mengambil kira kos dan masa yang diperlukan untuk menghasilkan versi pemanduan tangan kanan.
Berbalik kepada CX70, rekaan luarannya mungkin dilhat agak ketinggalan zaman namun dengan ukuran panjang 4,705 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,775 mm dan tapak roda 2,780 mm, ia mampu menyediakan ruang kabin yang besar dan selesa untuk semua penumpang.
Untuk gambaran yang lebih jelas, ia lebih panjang dan tinggi sedikit berbanding Volkswagen Tiguan Allspace, manakala ukuran tapak rodanya hanya 7 mm lebih pendek jika dibandingkan dengan SUV dari Jerman itu.
Di dalam, terdapat tiga barisan tempat duduk dengan lipatan 60:40 pada barisan kedua dan lipatan 50:50 pada barisan ketiga. Jika kedua-dua tempat duduk ini dilipat sepenuhnya, anda akan mendapat ruang kargo besar dengan kapasiti mencecah 3,810 liter.
Senarai kelengkapan yang disediakan tidak kurang hebatnya. Ia termasuk skrin sentuh sistem infohibur berukuran 11 inci, Bluetooth, enam pembesar suara, soket 12V pada tempat duduk hadapan dan barisan ketiga, panel sensitif sentuhan untuk kawalan sistem pendingin hawa, stereng tilt/teleskopik, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, upholsteri kulit dan bumbung suria.
Terletak di bawah penutup bonet adalah enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 150 hp pada 5,500 rpm dan 230 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik enam kelajuan keluaran Aisin. Menurut laman web syarikat itu, model ini menawarkan kecekapan bahan api 7.6 liter bagi setiap 100 km.
Sistem keselamatan pula merangkumi dua beg udara, ABS dengan EBD, Traction Control, Hill-Hold Control, kamera undur, sensor parkir, kamera titik buta dan juga cagak ISOFIX.
Kaicene CX70 dijual pada harga 879,000 peso (kira-kira RM71,935) dan didatangkan standard dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km.
No Comment