BMW iX M60 – SUV Elektrik Talaan M Dengan 612 PS, 1,015 NM
BMW telah memperkenalkan kenderaan elektriknya yang paling berkuasa setakat ini iaitu iX M60. Seperti i4 M50, crossover ini turut ditala oleh mereka yang pakar dari divisyen M.
Oleh itu, tidak hairanlah jika model ini mempunyai prestasi yang setanding kereta sport sebenar walaupun tidak menggunakan setitik petrol pun. iX M60 hadir dengan kuasa keseluruhan berjumlah 455 kW (619 PS) dan 1,015 Nm dalam mod Sport. Jika Launch Control diaktifkan, tork tersebut meningkat kepada 1,100 Nm.
Ini membolehkan iX M60 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j, iaitu 50 km/j lebih tinggi berbanding apa yang boleh dicapai oleh iX xDrive50.
Kuasa dan tork tersebut dibekalkan oleh sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menggunakan teknologi eDrive generasi kelima dan sebuah pek bateri berkapasiti 105.2 kWh. Jarak pemanduan yang ditawarkan oleh gabungan ini adalah 566 km dengan satu cas penuh.
Bercakap tentang pengecasan, iX M60 dilengkapi dengan Combined Charging Unit (CCU) yang mampu menampung sehingga 11 kW untuk AC dan 200 kW untuk pengecasan pantas DC. Untuk DC, tahap kuasa bateri boleh meningkat dari 10% kepada 80% dalam masa 35 minit atau dalam erti kata lain, jarak sejauh 150 km ditambah setiap 10 minit ia dicas.
Sebagai sebuah model M yang sebenar, iX M60 didatangkan standard dengan suspensi udara dengan kawalan ketinggian automatik, angkup brek M dan sistem stereng roda belakang. Ia juga mempunyai komponen yang dieprbuat daripada gentian karbon plastik CFRP seperti bumbung, seksyen sisi dan belakang, serta perincian berwarna Titanium Bronze.
No Comment