Harga Rasmi Kia Carnival Diumumkan – RM196,340
Pada November tahun lalu, pengedar rasmi Kia di Malaysia iaitu Dinamikjaya Motors mengumumkan pembukaan tempahan bagi Kia Carnival generasi keempat. Hari ini, syarikat tersebut mengumumkan harga rasmi MPV mewah yang ditunggu-tunggu itu.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Carnival akan dibawa masuk sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan. Harganya bermula dari RM196,340 (atas jalan tidak termasuk insurans) dan ia dilindungi dengan waranti dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun/100,000 km.
Sudah banyak diperkatakan tentang reka bentuk luaran Carnival. Ia menampilkan overhang hadapan yang lebih pendek, manakala tapak tiang A dialih ke belakang untuk menghasilkan bonet yang lebih panjang. Ciri-ciri jeriji ‘tiger nose’ lebih lebar, lampu LED baharu dengan DRL, serta sirip krom pada tiang C menyumbang kepada imej yang premium dan futuristik.
Dibangunkan menggunakan platform N3 yang dikatakan lebih tegar dan senyap, Carnival mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar jika dibandingkan dengan model generasi ketiga. Panjang keseluruhan bertambah sebanyak 40 mm menjadi 5,155 mm, ukuran lebar bertambah sebanyak 10 mm menjadi 1,995 mm, manakala tapak roda juga menjadi lebih panjang iaitu dari 3,060 mm kepada 3,090 mm.
Ini secara tidak langsung menghasilkan ruang kabin yang lebih luas. Untuk pasaran Malaysia, MPV ini didatangkan dalam konfigurasi 11 tempat duduk yang lebih selesa untuk perjalanan jauh. Bukan itu sahaja, kelengkapan lain seperti pintu gelongsor kuasa, liftgate kuasa, kunci pintar juga ada. Untuk sistem infohibur pula, terdapat skrin sentuh LCD berukuran 12.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles, Bluetooth dan tujuh port USB.
Sistem keselamatan Carnival tidak kurang hebatnya, dengan tujuh beg udara, ABS, ESC, Traction Control, Multi-Collision Brake Control, ISOFIX, Top Tether dan Hill-Start Assist Control.
Untuk enjin pula, hanya ada satu pilihan iaitu enjin turbodiesel 2.2-liter yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Menurut Kia, gandingan ini menawarkan pecutan yang lancar dan linear serta rasa prestasi pemanduan yang premium.
Pelanggan boleh memilih daripada enam warna yang ditawarkan iaitu Astra Blue, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Snow White Pearl, Panthera Metal dan Flare Red.
No Comment