Hypercar ‘Rare’ Ferrari Enzo Terbabas Di Belanda
Ada beberapa sebab yang menjadikan Ferrari Enzo antara model yang paling ikonik bagi jenama itu. Pertama, ia dinamakan sempena pengasas jenama itu. Kedua, ia dilengkapi dengan beberapa teknologi yang dibangunkan dengan pengetahuan dari F1. Ketiga, bilangannya tidak banyak iaitu 400 unit sahaja (ada yang mendakwa ada 493 unit).
Tidak diketahui berapa banyak Ferrari Enzo yang masih tinggal namun apa yang pasti, jumlahnya semakin berkurang apabila satu lagi unit terlibat dalam kemalangan di Belanda.
Kemalangan tersebut dikatakan berlaku sekitar jam 11.30 pagi di daerah Baarn yang terletak tidak jauh dari Amsterdam. Seorang saksi mendakwa hypercar itu dipandu pada kelajuan yang tinggi sebelum pemandunya hilang kawalan sehingga kereta itu berpusing dan merempuh pokok.
Menurut agensi berita tempatan ad.nl, seorang jurugambar yang kebetulan berada di lokasi kejadian ternampak seorang kakitangan pusat pengedar Kroymans Ferrari di dalam Enzo itu, menunjukkan yang kemalangan tersebut mungkin berlaku ketika jentera itu sedang dipandu uji.
Forum FerrariChat pula mendakwa yang Enzo tersebut sedang dipandu oleh seorang mekanik. Nama pengedar tersebut juga dikatakan terpampang pada plat namun ia dicabut sebelum dibawa pergi oleh trak tunda. Bagaimanapun, perkara ini belum dapat disahkan memandangkan jurucakap Kroymans Ferrari enggan mengulas mengenai kejadian itu.
Kerosakan yang dialami agak teruk – tayar hadapan dan belakang sebelah penumpang tercabut, manakala bampar hadapan dan belakang turut rosak. Bagaimanapun, casis dan tiang kelihatan masih baik, jadi ia mungkin masih boleh diselamatkan. Cuma, kos pembaikan pasti akan membuatkan pemandu itu sesak nafas.
Ferrari Enzo, atau nama rasminya Ferrari Enzo Ferrari, diperkenalkan pada 2002. Walaupun sudah 20 tahun sejak ia dilancarkan, nilai model ini terus meningkat sehingga mencecah antara $2 juta hingga $3 juta (kira-kira RM8.3 juta hingga RM12.5 juta).
No Comment