Kawasaki Rai Ulang Tahun Ke-50 Siri Z Dengan 4 Model Edisi Khas
50 tahun yang lalu iaitu pada 1972, Kawasaki mendedahkan Z1 dalam warna ‘Fireball’ yang masih diingati ramai sehingga ke hari ini. Bagi mengenang kembali model berstatus lagenda itu, syarikat itu memperkenalkan Z900RS dan Z650RS edisi istimewa yang tampil dalam skema warna yang sama.
Menurut Kawasaki, warna perang dan oren gelap itu dihasilkan menerusi proses mengecat pelbagai lapisan bagi mendapatkan rona dan tekstur berkilat yang sama dengan model Z1 yang asal.
Bagi melengkapkan imej retronya, kedua-dua model itu diberikan rim berwarna emas dan logo ulang tahun ke-50 pada bahagian tangki dan pelindung enjin. Turut disertakan adalah lencana ‘900 Double Overhead Camshaft’ pada bahagian sisi dan rel pemegang pada bahagian belakang.
Jika Z900RS dan Z650RS diberikan skema warna klasik, Z900 dan Z650 pula mendapat warna yang lebih moden dan garang iaitu Firecracker Red. Ia bukan sembarangan warna kerana inspirasi untuknya datang daripada model Z1100GP yang cukup popular ketika era 1980-an.
Warna tersebut turut digunakan pada rim dan ia dipadankan pula dengan jalur putih hitam pada bahagian fairing dan tangki minyak. Seperti model-model RS tadi, kedua-dua Z900 dan Z650 ini didatangkan dengan logo khas pada bahagian tangki serta balutan kulit pada tempat duduk.
Model-model ulang tahun ke-50 ini akan menerjah pasaran Jepun bermula Februari 2022, diikuti dengan pasaran Eropah tidak lama kemudian.
No Comment