Mitsubishi Vision Ralliart Concept Muncul Di Tokyo Auto Salon
Mitsubishi menyertai acara Tokyo Auto Salon 2022 dengan membawa beberapa kenderaan konsep yang unik. Namun, apa yang menarik perhatian kami adalah Outlander PHEV serba hitam ini yang dikenali sebagai Vision Ralliart Concept.
Apakah perubahan yang dibawakan oleh model konsep ini jika dibandingkan dengan versi produksi? Dari segi visual, ia memakai kit badan yang lebih agresif. Ia merangkumi gril yang tertutup sepenuhnya dengan logo Ralliart, dapra yang lebih lebar dan juga diffuser belakang dengan lampu brek ala F1.
Dapra yang lebih lebar itu kemudiannya dipadankan dengan rim berukuran 22 inci bagi menghasilkan ‘stance’ yang lebih agresif. Menurut Mitsubishi, warna hitam matte itu akan mengeluarkan perincian berwarna biru apabila terkena cahaya, memberikan SUV itu penampilan “multidimensi yang memberikan rasa kualiti tinggi”.
Dari segi mekanikal, Vision Ralliart Concept mendapat cakera brek yang lebih besar dan angkup enam piston yang dikatakan dapat membawa prestasi mengambil selekoh dan membrek ke satu tahap yang lebih tinggi. Tidak dapat dipastikan jika enjin, transmisi atau suspensi diberikan sebarang talaan atau pun tidak.
Setakat ini, tiada perancangan untuk membawa model konsep ini ke fasa produksi namun kami jangkakan yang ia akan digunakan untuk mendapatkan maklum balas bagi pembangunan model-model Ralliart pada masa hadapan.
No Comment