Pandu Uji: Kia Carnival Generasi ke-4 – Mewah Dan Mengagumkan
Seperti yang anda mungkin tahu, pengurusan Kia di Malaysia telah bertukar tangan tahun lalu. Jenama dari Korea Selatan itu kini di bawah jagaan Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Bermaz yang turut memiliki hak eksklusif sebagai pengedar kenderaan Mazda dan Peugeot di negara ini.
Tidak dinafikan, Dinamikjaya Motors mempunyai tugas yang berat untuk mendapatkan semula kepercayaan pembeli kereta terhadap jenama Kia. Jadi, sebagai langkah pertama dalam strategi ofensifnya, syarikat itu melancarkan Kia Carnival serba baharu ke pasaran tempatan.
Buat masa ini, MPV itu ditawarkan dalam versi CBU, dengan satu pilihan enjin dan konfigurasi 11 tempat duduk. Bagaimanapun, versi CKD akan menyusuli seawal April tahun ini dengan konfigurasi tempat duduk yang berbeza dan pelbagai kelengkapan tambahan.
Diperkenalkan di peringkat global pada Ogos 2020, Carnival generasi keempat diberikan penambahbaikan menyeluruh yang merangkumi aspek casis, reka bentuk luaran dan dalaman, serta kelengkapan. Menerusi satu sesi pandu uji media yang diadakan baru-baru ini, kami dapat rasakan sejauh manakah peningkatan yang dibawakan oleh model baharu ini.
Reka bentuk luaran
Jika anda rasakan model generasi ketiga sudah cukup segak, penampilan versi terbaharu ini pastinya akan menarik perhatian anda. Ia kelihatan lebih bergaya dan moden, dengan adanya kemasan krom pada gril Tiger Nose dan lampu hadapan dengan rekaan yang tajam. Logo baharu jenama itu juga sedikit sebanyak membuatkan MPV ini kelihatan premium.
Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan profil sisi Carnival yang berbentuk seakan-akan crossover atau wagon yang panjang dan rendah, tidak seperti MPV lain di pasaran yang kelihatan seperti kotak dengan bumbung tinggi. Ini diserlahkan lagi menerusi rim berukuran 18 inci dan sirip krom bertekstur pada tiang C.
Di belakang, rekaan lampu yang merentangi sepanjang bahagian tailgate secara tidak langsung membuatkan kenderaan ini tampak lebih lebar. Namun agak sayang kerana ia tidak menggunakan mentol LED seperti lampu depan. Ini membuatkan pencahayaannya tidak begitu jelas terutamanya ketika di bawah sinaran matahari yang terik.
Ruang dalaman
Masuk ke dalam, anda akan disapa oleh upholesteri dua tona iaitu hitam dan coklat pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka. Selain itu, terdapat juga kemasan hitam berkilat pada konsol tengah, manakala kemasan krom bertekstur tadi turut tampil menghiasi papan pemuka.
Gabungan elemen-elemen tersebut dilihat berjaya menimbulkan suasana mewah di dalam kabin Carnival. Isu kualiti tidak timbul di sini kerana semua bahan yang digunakan termasuk balutan kulit pada tempat duduk, butang dan tombol terasa berkualiti tinggi.
Sistem infohibur terdiri daripada skrin sentuh berukuran 12.3 inci yang menawarkan Apple CarPlay dan Android Auto. Tiada tuil gear konvesional kali ini – ia digantikan dengan tombol pemilih gear rotari seperti yang terdapat pada kenderaan-kenderaan mewah seperti Range Rover.
Pendek kata, keseluruhan ruang kabin Carnival memang terasa lebih premium jika dibandingkan dengan sebelum ini. Cuma, versi CBU ini didatangkan kluster instrumen analog dan paparan multi-info 4.2 inci namun kami difahamkan ia akan digantikan dengan paparan digital sepenuhnya dalam versi CKD.
Keselesaan dan praktikaliti
Sejujurnya, tiada MPV yang memerlukan 11 tempat duduk melainkan ia digunakan untuk tujuan komersial seperti dijadikan sebagai shuttle. Dalam perjalanan ke Ipoh, penulis hanya sempat duduk di barisan pertama, kedua dan ketiga, manakala tempat duduk barisan keempat dilipat sepenuhnya untuk mewujudkan ruang untuk kargo.
Seperti yang dijangka, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan sangat selesa dan cukup empuk. Bagaimanapun, tempat duduk barisan kedua agak mengecewakan dek kerana kekurangan sokongan pada bahagian peha.
Sementara itu, kerusi barisan ketiga pula boleh digunakan oleh orang dewasa dengan ketinggian sederhana, namun untuk perjalanan jauh, ia pastinya memenatkan. Untuk kanak-kanak rasanya tiada masalah.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan, Carnival jelas memang direka sebagai sebuah kenderaan untuk keluarga moden. Ini kerana ia didatangkan dengan tujuh port pengecas USB dan dua soket 12V. Kia turut menyediakan 12 pemegang cawan, jadi setiap penumpang boleh menikmati perjalanan jauh dengan lebih selesa.
Penumpang di belakang juga tidak perlu risau tentang cuaca panas kerana kenderaan ini didatangkan dengan kawalan sistem pendingin hawa pada barisan kedua serta empat corong udara untuk barisan ketiga dan keempat. Turut disertakan adalah penghadang cahaya matahari yang boleh ditarik.
Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan Smart Power Tailgate dan Smart Power Sliding Door yang membolehkan penumpang keluar dan masuk, serta memuatkan barang di dalam ruang kargo dengan mudah dan cepat.
Prestasi pemanduan
Tugas untuk memacu kenderaan bersaiz besar ini diserahkan kepada enjin turbodiesel Smartstream 2.2-liter empat silinder dan transmisi automatik lapan kelajuan yang menggerakkan roda hadapan.
Atas kertas, enjin tersebut menjana 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, namun ketika memandunya, ia terasa seolah-olah mempunyai lebih daripada itu. Walaupun dengan lima penumpang dewasa, enjin tersebut mampu bertindak balas kepada input pendikit dengan begitu baik sekali.
Bukan itu sahaja, penukaran gear yang cepat membolehkan Carnival memecut dari keadaan pegun dengan pantas. Ia juga beroperasi dengan lancar dan lebih penting lagi, tiada rasa tersengguk-sengguk apabila memandu di dalam keadaan trafik yang sibuk.
Banyak penambahbaikan telah dilakukan pada kerangka dan sistem suspensi Carnival demi meningkatkan kualiti ‘ride and handling’. Ini termasuk mengubah geometri suspensi dan memperkukuhkan kerangka di beberapa bahagian penting.
Hasilnya memang dapat dirasakan, terutamanya apabila memandu di dalam kawasan kampung di mana lantunan badannya dikawal dengan baik walaupun melalui jalan yang beralun.
Kualiti NVH juga sangat memuaskan, terima kasih kepada penggunaan bahan penebat bunyi tambahan pada ruang enjin dan bawah badan, serta filem akustik pada cermin penghadang angin depan.
Konklusi
Dengan mengambil kira statusnya sebagai model CBU, bilangan tempat duduk yang ditawarkan serta pelbagai kelengkapan standard canggih yang disediakan, harga RM196,340 untuk Kia Carnival baharu boleh dikatakan berbaloi. Cuma seperti apa yang dikatakan, rata-rata pembeli di Malaysia masih ada rasa sangsi terhadap jenama Kia. Itu satu.
Kedua, kehadiran Toyota Alphard dan Vellfire versi recond pastinya memberikan saingan yang sengit. Malah, nama kedua-dua model itu juga lebih sinonim dengan “kemewahan” jika dibandingkan dengan Carnival. Inilah antara cabaran yang perlu diatasi oleh Dinamikjaya Motors. Mampukah mereka melakukannya?
No Comment