Perodua Jual 190,000 Kenderaan Sepanjang 2021, Turun 29.8%
Perodua mengumumkan bahawa prestasi jualannya bagi bulan Disember 2021 adalah 22,940 unit, 11.5% lebih tinggi berbanding 20,299 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Menurut syarikat itu, ia disebabkan oleh langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah bekalan mula menunjukkan hasil positif.
Bagaimanapun, impak pandemik Covid-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan banjir menyebabkan jualan tahunan Perodua menyusut sebanyak hampir 30% dari 220,154 unit pada tahun 2020 kepada 190,291 unit pada 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata jumlah tersebut adalah di bawah sasaran 200,000 unit yang telah ditetapkan untuk 2021 memandangkan cabarannya lebih hebat dari yang dijangka.
Walaupun begitu, Myvi terus mendahului pasaran keseluruhan di Malaysia dari segi jualan mengikut model dengan 47,525 unit, diikuti oleh Axia dan Bezza.
Mengenai industri, Dato’ Zainal berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2021 juga menyaksikan impak jualan yang sama dengan anggaran penurunan sebanyak 23.6% kepada 504,536 unit dari 528,172 unit yang terjual pada 2020.
“Walaupun mencatat prestasi yang lebih rendah dari jangkaan untuk 2021, langkah untuk menangani impak Covid-19 terbukti berkesan setakat ini kerana kami dan pihak pembekal sedang bekerjasama secara dinamik dan menyelaraskan usaha untuk memastikan gangguan dapat diminimumkan,” kata Dato’ Zainal.
“Rantaian bekalan automotif tempatan mengalami kemerosotan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun masih ada harapan kerana tempahan untuk kenderaan Perodua kekal sihat berikut maklum balas positif pelanggan terhadap pengecualian cukai jualan,” tambah beliau lagi.
No Comment