Peugeot 2008 Baharu Kini Di Malaysia – RM126,753
Peugeot 2008 baharu secara rasminya telah dilancarkan hari ini oleh Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan jenama Peugeot di Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, crossover kompak itu dipasang secara tempatan di kilang pemasangan Stellantis di Gurun, Kedah.
Untuk pasaran Malaysia, 2008 didatangkan dengan lampu LED sepenuhnya pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED dan juga rim Diamond Cut 17 inci dalam warna Black Onyx. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Amazonite Grey, Pearl White, Nera Black dan Orange Fusion.
Ciri-ciri luaran lain yang turut disertakan termasuklah ciri Keyless Entry (dengan Auto Unlock dan Walk Away Lock), sensor parkir depan dan belakang, rel bumbung dan juga cermin sisi elektrik dengan fungsi pemanas.
Seperti model-model Peugeot yang lain, 2008 turut menampilkan kabin i-Cockpit yang merangkumi stereng kompak, skrin sentuh berdefinisi tinggi yang besar dan kluster instrumen 3D yang merupakan ciri baharu. Menurut Peugeot, kluster instrumen berukuran 10 inci itu memaparkan maklumat seperti hologram pada paras mata pemandu.
Sementara itu, skrin sentuh untuk sistem infohibur pula berukuran tujuh inci dan menampilkan ciri arahan suara, Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth. Model ini juga dilengkapi dengan sistem pendingin hawa automatik, upholsteri kulit, brek parkir elektrik dan sistem pencahayaan mood.
Dibina menggunakan platform EMP1, 2008 dikuasakan oleh enjin PureTech 1.2-liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 130 hp pada 5,500 rpm dan 230 Nm pada 1,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi automatik enam kelajuan. Tiga mod pemanduan disediakan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada Visiopark 1 dengan kamera undur 180 darjah, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Assist, Blind Spot Monitoring dan Active Safety Brake. Selain itu, crossover ini juga mempunyai enam beg udara, Hill Start Assist, Electronic Stability Program (ESP) yang termasuk Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-Force Distribution (EBD) dan Emergency Brake Assist (EBA).
Harga jualan untuk 2008 bermula dari RM126,753 selepas pengecualian cukai jualan (SST) sebanyak 100 peratus. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/100,000 km dan pakej servis percuma untuk tiga tahun/60,000 km.
No Comment