RFID: PLUS Minta Maklum Balas Untuk Tingkat Perkhidmatan
Berikutan kekecohan mengenai sistem RFID yang tidak berfungsi dengan baik yang mengakibatkan kesesakan teruk di beberapa tol plaza di Lembah Klang minggu lalu, PLUS Malaysia Berhad kini ingin mendapatkan maklum balas pelanggan menerusi borang kaji selidik dalam talian.
Menerusi satu hantara Facebook pada 21 Januari lalu, syarikat pengendali Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) itu berkata kaji selidik itu dapat membantu mengenalpasti ketidaksempuraan perkhidmatan pihaknya serta meningkatkan pengalaman pelanggan.
PLUS sebelum ini mengeluarkan kenyataan maaf dan berjanji akan mengaktifkan semula lorong SmartTAG ekoran rungutan daripada pengguna. Selain itu, syarikat itu juga akan mengambil langkah proaktif seperti memasang palang berkembar, menempatkan pembantu khidmat pelanggan di semua lorong RFID dan menandakan zon pengesanan untuk mempercepatkan aliran trafik di lorong-lorong RFID.
Seperti yang anda mungkin sudah tahu, pelaksanaan RFID di sepanjang lebuhraya PLUS adalah selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF). MLFF secara asasnya selangkah lebih maju berbanding RFID kerana ia membolehkan pengguna lebuhraya membuat pembayaran tol tanpa perlu memperlahankan kenderaan kerana ia tidak menggunakan palang.
Bagaimanapun, kekecohan yang kita saksikan pada minggu lepas jelas menunjukkan yang ada beberapa perkara perlu diberi perhatian dan diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita boleh berfikir untuk mengimplementasi MLFF.
Walaupun mengakui kesulitan yang dialami pelanggannya, PLUS tidak menyebut punca sebenar yang menyebabkan sistem RFID tidak dapat berfungsi dengan baik. Bagaimanapun, berdasarkan komen-komen di media sosial, isu itu mungkin berpunca daripada tag RFID yang dikatakan mudah rosak.
Bukan itu sahaja, sebilangan pengguna jalan raya turut kesal dengan penutupan lorong SmartTAG, yang dilihat bercanggah dengan kenyataan Kementerian Kerja Raya yang mengatakan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG akan dimansuhkan secara berperingkat.
Selain itu, kami pada mulanya berpendapat bahawa peningkatan mendadak bilangan pengguna RFID mungkin menjadi penyebab kegagalan sistem itu untuk berfungsi dengan baik namun ini tidak benar kerana menurut PLUS, migrasi RFID hanya meningkat sebanyak 10% selepas pelaksanaannya pada 15 Januari. Dan perlu diingatkan yang jumlah tersebut adalah untuk keseluruhan Lebuhraya Utara Selatan dan bukannya di Lembah Klang sahaja.
No Comment