Proton Dinamakan Salah Satu Kenderaan Rasmi Sukan Asia Ke-19 Hangzhou 2022
Proton mengumumkan penamaannya sebagai salah satu jenama kenderaan rasmi untuk Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 yang akan berlangsung di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September 2022. Pengeluar kenderaan nasional itu dipilih hasil daripada kaitannya dengan Geely Auto Group yang merupakan Rakan Kongsi Prestij Rasmi untuk Sukan Asia.
Menurut Proton, pengiktirafan ini bukan sekadar memberikan mereka peluang untuk menyokong acara pelbagai-sukan terbesar di Asia itu, namun juga meningkatkan imejnya di peringkat Asia. Semua model terkini Proton iaitu Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 dan X70, akan digunakan sebagai kenderaan rasmi semasa acara sukan itu berlangsung.
Dalam masa yang sama, Proton menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong Sukan Asia dan olahragawan negara yang sedang berusaha untuk menyampaikan persembahan terbaik mereka di acara tersebut. Syarikat itu akan melancarkan kempen nasional untuk membina keterujaan menjelang acara tersebut, dengan meraikan semangat kesukanan di kalangan rakyat dan menonjolkan peranan sukan dalam memupuk perpaduan, selain dari mempromosikan aktiviti kecergasan dan sukan.
Bukan itu sahaja, kempen ini juga adalah untuk mengukuhkan hubungan di antara Proton dengan orang ramai, selaras dengan slogan acara tahun ini – “Heart to Heart, @Future”.
“Mencerminkan komitmen Proton ke arah ‘Inspiring Connections’ dan usaha berterusan kami untuk kecermelangan, kami ingin menawarkan cara baru bagi memeriahkan Sukan Asia ke-19 melalui kempen-kempen kami. Acara pelbagai sukan di Asia akan memberikan platform penting kepada Proton, dan matlamat kami adalah untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat untuk sertai kami dan memberikan sokongan kepada olahragawan negara bagi mendorong mereka untuk mencapai kejayaan, dan merangkul identiti kita sebagai sebahagian dari Keluarga Asia,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Kempen Proton untuk Sukan Asia Hangzhou 2022 akan dimulakan dengan “Peraduan Proton Ignite Your Life” di mana pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah apabila mereka menempah dan mendaftar samada Persona, Iriz, Exora, Saga, X50 ataupun X70 dari 1 Februari hingga 31 Julai 2022.
Antara hadiah menarik yang ditawarkan termasuk hadiah utama yang berupa perjalanan eksklusif ke Hangzhou untuk merasai acara Sukan Asia secara langsung, serta hadiah bulanan seperti e-baucar untuk produk sukan.
No Comment