Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Kereta Rosak Di Lebuh Raya
Kira-kira dua minggu yang lalu, seorang wanita dan lapan anaknya menjadi antara 10 yang maut dalam satu kemalangan ngeri di lorong kecemasan lebuh raya ELITE.
Menurut laporan, Proton Wira yang dinaiki oleh keluarga itu berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan pada bateri sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah treler. Dipercayai, treler itu turut melanggar dua buah lagi kereta yang berhenti untuk menghulurkan bantuan.
Pemandu dan penumpang yang berada di dalam dua kereta tersebut dilaporkan mengalami kecederaan ringan namun seorang mekanik yang membantu menghidupkan bateri Wira tersebut meninggal di tempat kejadian.
Malangnya, ini bukanlah kali pertama pengguna lebuh raya maut dilanggar di lorong kecemasan dan tidak akan jadi yang terakhir sekiranya kita terus mengabaikan garis panduan untuk kerosakan kenderaan ketika berada di lebuhraya.
Oleh itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) baru-baru ini menyediakan tips-tips berguna yang boleh diikuti sekiranya kereta anda mengalami kerosakan di lebuh raya:
- Pertama sekali, cari susur keluar (exit) yang terdekat. Sekiranya anda tidak dapat berbuat demikian, berhenti di laluan kecemasan yang disediakan dan nyalakan lampu kecemasan.
- Ingat, jangan sesekali cuba untuk membaiki kenderaan anda di lorong kecemasan, tidak kiralah betapa kecil kerosakan yang dialami atau setinggi mana kepakaran anda.
- Apa yang anda perlu lakukan adalah keluarkan semua penumpang dari kenderaan dengan segera dan cari tempat menunggu yang selamat di belakang penghadang jalan.
- Seterusnya, hubungi talian kecemasan lebuh raya dan berikan lokasi anda.
- Sementara menunggu bantuan tiba, letakkan segi tiga amaran (warning triangle) atau kon keselamatan pada jarak sekurang-kurangnya 45 meter dari kenderaan anda.
- Anda juga boleh menggunakan lampu suluh untuk memberi amaran kepada pemandu lain tapi pastikan anda berada di belakang penghadang.
- Anda juga dinasihatkan untuk memakai jaket keselamatan sekiranya ada.
- Untuk kerosakan teruk, hubungi syarikat insurans kenderaan anda untuk mendapatkan perkhidmatan tunda.
No Comment