Toyota Corolla Cross Hybrid CKD Dilancarkan – RM136,550
UMW Toyota Motor hari ini secara rasminya melancarkan Toyota Corolla Cross Hybrid yang dipasang secara tempatan di kilangnya di Bukit Raja bersama dengan dua lagi varian iaitu 1.8V dan 1.8G. Menurut syarikat itu, pelancaran Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) itu adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif global untuk mencapai keneutralan karbon menjelang 2050.
Teka-teki mengenai harga Corolla Cross Hybrid juga terjawab hari ini dengan UMW Toyota Motor mengesahkan yang ia akan dijual pada harga bermula dari RM136,550 tidak termasuk insurans. Model yang dibina menggunakan platform TNGA itu didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Untuk ketenganan minda, UMW Toyota Motor memberikan waranti lapan tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid, inverter dan unit kawalan pengurusan kuasa. Ia boleh dilanjutkan selama dua tahun lagi, sekaligus menjadikan tempoh keseluruhan 10 tahun.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Corolla Cross Hybrid tampil dengan gandingan enjin petrol 1.8-liter empat silinder, sebuah motor elektrik dan transmisi e-CVT. Enjin tersebut menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm pada 3,600 rpm, manakala motor elektrik tersebut menjana 72 PS (53 kW) dan 163 Nm. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 122 PS.
Kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri nickel-metal hydride berkapasiti 6.5 Ah yang diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Ini membolehkan Toyota mengekalkan kapasiti ruang bagasi belakang iaitu 440 liter. Ruang ini boleh diakses menerusi tailgate kuasa dengan operasi bebas tangan.
Dari segi keselamatan, barisan Corolla Cross CKD, termasuk varian Hybrid ini, didatangkan standard dengan Toyota Safety Sense. Ia merangkumi Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA) dan Automatic High Beam (AHB). DRCC dan LTA kini boleh beroperasi pada semua kelajuan.
Turut disertakan adalah paparan panoramik 3D, Blind Spot Monitor dengan Rear Cross Traffic Alert, perakam video pemanduan digital, tujuh beg udara, Hill-Start Assist Control, Vehicle Stability Control, Tyre Pressure Monitoring System dan enam sensor parkir.
Model ini juga didatangkan dengan Vehicle Telematics System (VTS) yang membolehkan pemilik mengesan kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS. Pemilik juga boleh mengawasi status pencucuhan dan kelajuan kenderaan jika ia dicuri. Sistem ini didatangkan dengan langganan percuma selama tiga tahun.
Corolla Cross Hybrid boleh didapati dalam lima warna iaitu Celestite Grey Metallic, Silver Metallic, Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic dan Platinum White Pearl.
No Comment