Toyota GRMN Yaris Diperkenalkan Di Tokyo Auto Salon
Toyota GR Yaris adalah sebuah kereta yang sangat seronok untuk dipandu, terima kasih kepada gabungan enjin turbo yang bertenaga, badan yang ringan dan sistem pacuan semua roda yang sofistikated. Namun Toyota Gazoo Racing percaya masih ada ruang untuk penambahbaikan. Oleh itu, syarikat itu baru-baru ini memperkenalkan GRMN Yaris di Tokyo Auto Salon 2022.
Menurut Toyota, GRMN Yaris merupakan sebuah model GR Yaris yang telah ditala sepenuhnya dan melalui proses penghalusan ketat oleh pemandu profesional. Bagi anda yang tidak tahu, GRMN bermaksud Gazoo Racing Meister of Nurburgring.
Jika dibandingkan dengan GR Yaris standard, edisi GRMN ini 10 mm lebih lebar, 10 mm lebih rendah dan 20 kg lebih ringan. Penjimatan berat tersebut dicapai menerusi penggunaan hud, bumbung dan spoiler belakang gentian karbon, serta dengan mengeluarkan kerusi belakang. Bilangan titik kimpalan juga bertambah sebanyak 545, sekaligus menjadikan badan hatchback ini lebih tegar.
Enjin turbo 1.6-liter tiga silinder itu masih menghasilkan 272 PS seperti model spec Jepun namun tork puncak meningkat sedikit dari 370 Nm kepada 390 Nm. Transmisi manual enam kelajuan yang digemari ramai itu dikekalkan namun ia telah ditambah baik dengan nisbah yang lebih rapat dan final drive yang lebih rendah. Turut disertakan adalah LSD mekanikal.
Toyota akan menawarkan tiga versi GRMN Yaris. Ia bermula dengan versi asas yang didatangkan dengan semua kelengkapan di atas. Kemudian, terdapat versi Circuit Package yang menambah rim 18 inci BBS, brek berukuran 18 inci, penyerap hentak Bilstein dengan redaman boleh laras, spoiler gentian karbon, skirt sisi dan lip spoiler.
Versi Rally Package lebih hardcore, dengan penambahan penyerap hentak GR dan set stabiliser link, set under guard GR dan roll bar GR. Tidak seperti Circuit Package yang didatangkan siap-siap dari kilang, Rally Package akan dipasang oleh wakil pengedar.
Harga bermula dari 7,317,000 yen (RM268,776) untuk GRMN Yaris asas, 8,467,000 yen (RM311,019) untuk Circuit Package dan 8,378,764 (RM307,778) untuk Rally Package. Bagaimanapun, hanya 500 unit akan dihasilkan dan setiap akan dijual menerusi sistem loteri di laman web Toyota Gazoo Racing.
No Comment