Treler Bawa Proton X50, X70 Terbabas Di Lebuh Raya PLUS
Umum tahu bahawa disebabkan faktor populariti dan permintaan yang tinggi, pembeli Proton X50 perlu menunggu sehingga enam bulan untuk mendapatkan kereta yang ditempah.
Nampaknya, sekurang-kurangnya seorang pembeli X50 terpaksa menunggu lebih lama apabila sebuah treler yang membawa muatan kereta Proton terbabas di KM 429 Lebuhraya Utara Selatan dari Bukit Beruntung menghala ke Sungai Buaya pagi tadi.
Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan oleh Ezra Azrin di laman Facebook Proton X50 Community Malaysia (PX50CM), treler tersebut terbabas masuk ke dalam sebuah parit di lebuh raya itu. Treler tersebut mengalami kerosakan pada bahagian hadapan namun keadaan pemandu tidak diketahui.
Sementara itu, sebuah Proton X50 turut berada di dalam longkang tersebut. Melihat kepada kerosakan teruk pada bahagian bonet, cermin, tiang A dan bumbung, crossover itu dipercayai terjatuh dari bahagian atas treler dan terbalik beberapa kali sebelum masuk ke dalam longkang.
Besar kemungkinan X50 itu akan diisytihar ‘total loss’ oleh syarikat insurans. Persoalannya, bolehkah Proton menggunakan komponen-komponennya yang masih elok untuk kerja pembaikan kereta yang tenggelam dalam banjir baru-baru ini?
Turut terlibat dalam kemalangan ini adalah dua buah Proton X70, di mana salah satunya merupakan X70 Edisi Khas yang dilancarkan pada Julai tahun lalu. Kedua-dua SUV tersebut masih berada di dalam treler dan dijangka mengalami kerosakan kecil yang tidak serius.
No Comment