Volvo V60 Recharge T8 Masuk Pasaran Malaysia
Ini mungkin satu berita yang tidak dijangka oleh peminat automotif tempatan. Volvo Car Malaysia telah melancarkan Volvo V60, satu-satunya model wagon dalam segmen premium di Malaysia setakat ini. Ia boleh didapati dalam varian Recharge T8 Inscription pada harga RM287,474.
Seperti S60, XC60 dan XC90, V60 dibangunkan berasaskan platform Scalable Product Architecture (SPA). Recharge T8 adalah trenkuasa PHEV yang merangkumi enjin petrol Drive-E 2.0-liter turbo/supercharge yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang. Ia digandingkan dengan motor elektrik yang ditugaskan untuk menggerakkan roda belakang.
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Dengan sistem pacuan semua roda (AWD), wagon ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Dengan cas penuh, ia boleh dipandu dengan hanya kuasa elektrik sejauh 49 km.
Tidak seperti S60 yang didatangkan dengan pakej R-Design yang sporty, V60 Recharge T8 mendapat trim Inscription yang menampilkan kemasan krom. Ia juga dilengkapi dengan rim berukuran 19 inci. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu Bright Silver, Onyx Black, Thunder Grey dan Crystal White.
Sementara itu, ruang kabin pula mendapat pilihan upholsteri kulit hitam Charcoal dengan trim kayu kelabu atau kulit Maroon Brown dengan trim kayu coklat gelap. Kedua-duanya didatangkan dengan pelapik bumbung (headliner) berwarna cerah, bumbung panoramik dan tuil gear kristal Orrefors.
Dari segi keselamatan, V60 Recharge T8 Inscription dilengkapi dengan sistem ADAS Pilot Assist, Adaptive Cruise Control, City Safety, kamera 360 darjah dan pelbagai lagi.
No Comment