Yamaha EMF: Skuter Elektrik Dengan Bateri Yang Boleh Ditukar
Teknologi penukaran bateri mungkin belum lagi ada di Malaysia namun di Taiwan, di mana jumlah skuter elektrik atau e-skuter mencecah kira-kira 430,000 unit, teknologi itu menjadi semakin popular terima kasih kepada Gogoro.
Ditubuhkan pada 2011, Gogoro merupakan pendukung utama teknologi penukaran bateri untuk e-skuter dan setakat ini telah menempatkan lebih 2,200 stesen penukaran bateri (dikenali sebagai GoStation) di seluruh negara itu. Ketersediaan meluas stesen-stesen tersebut secara tidak langsung telah mendorong syarikat-syarikat pengeluar motosikal untuk bekerjasama dengan Gogoro bagi membangunkan e-skuter yang spesifik untuk pasaran Taiwan.
Salah satu daripada syarikat yang dimaksudkan adalah Yamaha. Baru-baru ini, syarikat itu mengesahkan yang ia akan melancarkan model e-skuter bernama EMF pada Mac nanti. EMF merupakan skuter elektrik kedua Yamaha yang dibangunkan dengan bantuan Gogoro selepas EC-05 yang dilancarkan pada 2019.
Namun, tidak seperti EC-05 yang direka sendiri oleh Yamaha Motor, EMF dibangunkan oleh Yamaha Motor R&D Taiwan menggunakan kit pembangunan Gogoro (Gogoro Development Kit atau GDK). Model ini akan dipasang dan dipasarkan oleh Yamaha Motor Taiwan.
Perincian teknikal mengenai EMF adalah terhad buat masa ini namun menurut laporan, e-skuter itu mempunyai 10.3 PS dan 26 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam 3.5 saat. Sejauh mana ia boleh ditunggang dengan satu cas penuh juga tidak diketahui namun dengan lambakan stesen penukaran bateri Gogoro, jarak tunggangan bukanlah sesuatu yang menjadi kerisauan pengguna e-skuter di Taiwan.
No Comment