Alfa Romeo Tonale Hadir Dengan Enjin Hibrid Dan PHEV
Permintaan terhadap SUV dan crossover semakin lama semakin meningkat, itu ialah realiti pasaran sekarang. Oleh sebab itulah pengeluar-pengeluar kenderaan dari Itali seperti Fiat dan Lamborghini mula mengikut jejak langkah pesaing mereka dari Jerman dan Jepun dengan menawarkan kenderaan jenis ini dalam barisan produk mereka.
Selain jenama-jenama tersebut, Ferrari dan Maserati juga sedang dalam proses membangunkan SUV masing-masing iaitu Purosangue dan Grecale. Sementara itu, Alfa Romeo yang sudah menjual Stelvio sejak lima tahun lalu, baru sahaja memperkenalkan crossover kedua mereka iaitu Tonale.
Tonale dibangunkan khusus untuk menarik peminat pembeli dari golongan muda dan urban yang mahukan pengalaman memiliki kenderaan Alfa Romeo dalam pakej yang lebih moden. Ia menampilkan elemen-elemen reka bentuk klasik Alfa seperti rim aloi dial telefon, kluster instrumen teleskopik, ‘Trilobo’ dan juga perisai ‘Scudetto’.
Semua ini dimuatkan dalam SUV berukuran 4.53 m panjang, 1.84 m lebar dan 1.6 m tinggi. Saiz ini meletakkan Tonale sebagai pesaing kepada BMW X1, Mercedes-Benz GLA dan juga Audi Q3.
Apa yang baharu pada penggayaan Tonale adalah lampu depan 3+3 dengan teknologi Matrix adaptif LED penuh yang dibangunkan dengan kerjasama Marelli. Gabungan ini menghasilkan isyarat membelok dinamik dan juga efek pencahayaan ‘Welcome’ dan ‘Goodbye’, di samping ciri Adaptive Driving Beam dan Glare-Free High Beam.
Tonale merupakan model pertama Alfa Romeo yang dielektrifikasikan, namun buat masa ini syarikat itu hanya menawarkan versi hibrid dan hibrid plug-in, tanpa sebarang penawaran versi elektrik sepenuhnya.
Versi hibrid menampilkan enjin petrol 1.5-liter empat silinder dengan Variable-Geometry Turbocharger (VGT). Ia boleh didapati dalam versi 130 hp dan 160 hp, kedua-duanya dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, pacuan roda depan dan motor elektrik 48 volt yang menjana 15 kW dan 55 Nm.
Versi hibrid plug-in pula menggabungkan enjin turbo 1.3-liter MultiAir dan motor elektrik pada gandar belakang, sekaligus menjadikan ia model pacuan semua roda (AWD). Versi ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 275 hp dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat.
Dengan bateri berkapasiti 15.5 kWh, ia menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 80 km. Pengecasan penuh mengambil masa kira-kira dua jam setengah dengan menggunakan pengecas pantas 7.4 kW.
Dari segi keselamatan, terdapat sistem bantuan pemandu yang merangkumi Intelligent Adaptive Cruise Control, Lane Centering, Traffic Jam Assist, Autonomous Emergency Braking, Drowsy Driver Detection, Blind Spot Detection dan Rear Cross Path Detection. Tonale juga dilengkapi dengan kamera parkir 360 darjah.
No Comment